Lelaki ragut guru taska dicekup dalam tempoh 8 jam

Seorang guru taska cedera selepas diragut dalam kejadian di Telok Panglima Garang, Kuala Langat pada Selasa.
Seorang guru taska cedera selepas diragut dalam kejadian di Telok Panglima Garang, Kuala Langat pada Selasa.
A
A
A

KUALA LANGAT - Seorang lelaki yang meragut seorang guru wanita di Telok Panglima Garang, di sini, pada Selasa, berjaya diberkas dalam tempoh lapan jam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 pagi, mangsa berusia 51 tahun yang berada di parkir kereta tiba-tiba didatangi suspek yang menaiki motosikal dan bersenjatakan parang.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, suspek telah bertindak menarik beg tangan mangsa sehingga menyebabkan wanita itu terjatuh.

"Mangsa mengalami kerugian wang tunai selain dokumen peribadi.

"Insiden itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan bengkak dan lebam di lengan serta lutut sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Tambahnya, bertindak hasil maklumat, sepasukan polis telah berjaya menahan suspek kira-kira jam 4 petang di Sijangkang.

Azizan berkata, suspek yang tidak bekerja itu akan direman pada Rabu untuk siasatan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti modus operandi suspek selain mengesan sama ada terdapat penglibatannya dalam kes di daerah Kuala Langat khususnya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan kejadian ragut berkenaan yang berdurasi satu minit 34 saat di laman sosial Facebook.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!