Umat Islam perlukan revolusi akal

No Image Caption
A
A
A

PERKEMBANGAN ilmu teknologi baharu yang berlaku dalam jangka masa 60 tahun terakhir ini, setelah berlakunya industri pertanian dan perusahaan selama ribuan tahun dahulu telah menghadirkan satu transformasi yang menakjubkan bagi dunia.

Proses kehadiran dan reformasi teknologi begitu mendadak menyebabkan banyak berlaku tekanan dalam kehidupan fizikal dan mental manusia, nilai kekeluargaan, perubahan cuaca, kepadatan penghuni dunia, keperluan makanan dan air bersih untuk minuman.

Dengan kejutan itu juga, terdapat golongan manusia yang pada umumnya akan menjadi makhluk yang sombong dan ego tanpa perlukan Tuhan dan agama. Malah, manusia sejagat sejak zaman kanak-kanak lagi akan menjadi manusia yang hanya mementingkan diri sendiri tanpa menyedari dan menghayati nilai-nilai hidup bersama dalam masyarakat serta negara. Mereka mengalami penyakit jiwa yang dipanggil egosentrik yang melampau.

Bagi menghadapi cabaran getir itu, umat Islam memerlukan satu revolusi perubahan akal dan pemikiran baharu untuk membentuk generasi baharu umat yang dapat menguasai serta menghayati segala ajaran agama dalam bentuk spiritual dan fizikal, pemikiran akal serta roh, hikmah dan kebijaksanaan.

Dalam kalangan umat Islam sendiri, kelahiran generasi baharu lebih banyak dipengaruhi oleh budaya asing dan warisan yang tidak terlibat dengan para ilmuwan dan intelektual Muslim seperti yang berlaku pada zaman kegemilangan Islam. Lebih malang lagi, mungkin tidak terdapat banyak negara atau masyarakat Islam yang mencuba untuk mengemukakan teori dan strategi baharu dalam mendidik generasi muda berdasarkan pendekatan sarwajagat Islam yang menyeluruh.

Isu pembentukan generasi dan proses pembangunannya sering disebut dalam al-Quran. Kitab suci Islam itu banyak menyebut tentang zuriat manusia, misalnya tentang zuriat Nabi Adam dan generasi Nabi Nuh, Ibrahim, Yaaqub dan lain-lain sehinggalah zaman Nabi Muhammad SAW.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Mereka itulah orang-orang yang telah diberikan nikmat oleh ALLAH (iaitu) nabi-nabi daripada keturunan Adam dan daripada orang yang Kami bawa bersama-sama Nuh, dan daripada keturunan Ibrahim dan Israel, dan lagi daripada orang yang telah Kami berikan petunjuk dan yang Kami pilih. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat ALLAH Al-Rahman, mereka segera sujud dan menangis.” (Surah Maryam (19) ayat 58).

Itulah sebenarnya gambaran dan realiti generasi mausia yang sebenarnya dididik dengan sempurna sejak zaman berzaman tetapi sebaliknya ALLAH menggambarkan juga perilaku generasi berikutnya yang berbeza dengan generasi tersebut seperti firman-Nya yang bermaksud: “Kemudian mereka digantikan oleh keturunan yang mencuaikan solat dan menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat), maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka) kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak dikurangkan pahalanya sedikit pun.” (Surah Maryam (19) ayat 59 – 60)

Artikel Berkaitan:

Hilang arah tuju

Ringkasnya, isu pembangunan manusia Muslim ini telah dikaji oleh cendekiawan Islam sendiri.

Kesimpulannya menunjukkan antara lain bahawa generasi baharu umat Islam pada umumnya mengalami kehilangan arah tuju dan objektif hidup kerana pemikiran yang terhad akibat tekanan dan indoktrinasi melampau daripada beberapa kalangan pimpinan masyarakat kini.

Ia juga adalah dilema peradaban Islam yang seharusnya dikaji untuk menghadapi cabaran baharu yang amat hebat itu terutama dalam membangunkan generasi baharu melalui segala saluran pendidikan yang mantap dan berkualiti seperti yang dapat difahami daripada falsafah dan institusi Islam sendiri.

*Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim ialah Ali Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!