10 cadangan tambah baik Permai

A
A
A

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat oleh kerajaan minggu lalu amat mengejutkan ramai pihak. Jika dahulu kita memasuki PKP dengan penuh harapan dan jumlah kes baharu positif Covid-19 yang relatifnya kecil berbanding keadaan semasa, kali ini rakyat tampak gelisah kerana cabarannya lebih besar dengan purata kes baharu melebihi 3,000 kes dan keadaan ekonomi yang masih lemah.

Menginsafi hakikat itu, penulis dan teman-teman Pemuda UMNO berharap agar kerajaan dapat menyediakan pakej bantuan untuk meringankan beban rakyat seperti Pakej Prihatin yang dilaksanakan dahulu.

Alhamdulillah, pada Isnin lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) bernilai RM15 bilion bagi tujuan di atas.

Pun begitu, Permai boleh disimpulkan sebagai penjenamaan’ (branding) kepada program-program yang telah dibentangkan pada sesi Belanjawan 2021 dengan perubahan yang minimum.

Atas sebab itu, penulis dan teman-teman Pemuda UMNO berasakan Permai ini ditambah baik dalam beberapa aspek, antaranya:

1. Memansuhkan segala syarat dan kriteria bagi membolehkan pengeluaran secara automatik bagi semua kategori i-Sinar KWSP.

2. Melaksanakan kaedah serupa dengan PKP 1.0 iaitu mengarahkan bank-bank dan institusi yang menawarkan pinjaman agar melanjutkan moratorium secara automatik tanpa faedah atau caj tambahan dan tanpa perlu tertakluk kelulusan permohonan kepada bank.

3. Memberikan diskaun bil elektrik sehingga 50 peratus berdasarkan penggunaan isi rumah.

Artikel Berkaitan:

4. Menambah insentif bantuan gaji sekurang-kurangnya selama tiga bulan sebanyak RM1,200 bagi setiap pekerja.

5. Memberi moratorium automatik kepada penyewa PPRT dan premis perniagaan milik kerajaan/kementerian. Tambahan dana khas kepada kerajaan negeri bagi membolehkan moratorium sewaan premis milik pihak berkuasa tempatan dapat dilaksanakan juga.

6. Tambahan peruntukan bagi projek infrastruktur kecil sebanyak RM4 bilion bagi membantu kontraktor kecil bumiputera, mencipta peluang pekerjaan sementara di kawasan luar bandar dan mempercepatkan proses pemulihan pasca banjir.

7. Penyediaan dana khusus kepada setiap negeri bagi tambahan pusat kua-rantin. Antara punca wabak Covid-19 semakin tidak terkawal adalah sistem kuarantin kendiri yang mempunyai banyak kelemahan.

8. Menyediakan insentif khas mahasiswa dan pelajar bagi pembelian komputer riba/tablet/peranti bagi membolehkan polisi PdPR (Pengajian dan Pembelajaran di Rumah) lebih berkesan.

9. Memperkenalkan semula baucar buku kepada mahasiswa bagi membolehkan tambahan rujukan kursus pengajian untuk memastikan prestasi pembelajaran dapat dikekalkan.

10. Menukar sebuah stesen televisyen milik kerajaan kepada TV Pendidikan sepenuhnya bagi pembelajaran sekolah rendah dan menengah. Ia bagi mengelakkan keciciran kerana liputan internet yang masih terhad terutama di kawasan pedalaman.

Kesemua 10 cadangan itu bukanlah sukar untuk dilaksanakan atau hanya bersifat menyantuni rakyat yang susah semata-mata.

Malah, penulis berpendapat setiap satunya mempunyai justifikasi dan rasional ekonomi yang bukan sahaja mampu meningkatkan aliran tunai, malah merangsang ekonomi rakyat dan negara untuk berkembang dalam tempoh PKP dan darurat.

Nukilan kali ini dirangka bukan untuk mendedahkan kelemahan, jauh sekali untuk mengajar mana-mana pihak cuma kami (Pemuda UMNO) harus komited dengan agenda #PemudaJurubicaraRakyat dalam membawakan suara hati dan denyut nadi rakyat di bawah yang terkesan.

Dalam usaha bersama kita untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19, janganlah kita alpa dan pandang sepi keluhan serta kegusaran mereka di bawah. Mereka telah lebih awal memikirkan soal pekerjaan dan bagaimana untuk menyara keluarga sekiranya prospek ekonomi negara masih malap.

Justeru, tidak kekok juga penulis berharap agar kerajaan harus segera memulihkan ekonomi negara melalui perancangan proaktif yang jelas bagi mengemudi negara yang kian hari kian ketinggalan berbanding negara jiran yang lain.

Janganlah kita alpa dan pandang sepi keluhan serta kegusaran rakyat di bawah.”

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!