Rasuah: Mencari hantu sebenar

A
A
A

APABILA Sinar Harian melancarkan Rasuah Busters atau Penggempur Rasuah dengan slogan Sinar Untuk Malaysia #KarakterNilaiMoralBangsa, ia adalah kelantangan yang ditunggu-tunggu. Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub selaku teraju utama begitu lantang mengajak masyarakat membanteras budaya rasuah.

Benar, rasuah sudah meresap ke dalam budaya masyarakat Malaysia. Ia sesuatu yang tidak disukai, namun diterima sebagai satu cara berurusan antara peminta dan pemberi, antara yang memohon dan yang memegang kuasa.

Apakah rasuah sudah membudaya dalam masyarakat kita? Filem Bujang Lapok, 1957 merakam watak yang kini dikenali sebagai ‘Ayu 20 sen.’ Kanak-kanak itu akan meminta upah 20 sen jika ibunya mahukan maklumat perlakuan kakaknya. Tanpa 20 sen, maklumat tak akan diberi Ayu.

Ia membawa kepada frasa popular bagi generasi pasca merdeka iaitu ‘ambil 20 sen, pergi main jauh-jauh’ sebagai lawak kepada sekumpulan yang menyuruh seseorang untuk pergi jauh supaya dia tidak bersama kumpulan. Meskipun ‘Ayu 20 sen’ dan ‘ambil 20 sen, pergi main jauh-jauh’ itu lawak, namun ia adalah gambaran mengenai wujudnya ciri-ciri rasuah sejak dahulu.

Apakah rasuah itu menjadi salah satu ajaran bagi seseorang anak sejak kecil hingga ia menjadi kebiasaan? Saya rasa tidak. Upah beli jajan jika anak siap kerja sekolah, beli komputer riba jika anak mendapat 8A dalam keputusan peperiksaan bukannya bentuk rasuah yang diajar ibu bapa. Ia hanya hadiah. Dari segi keluarga, budaya rasuah tidak bermula di situ. Masih ada harapan kita membanterasnya.

Saya menyimpan pengalaman yang amat berkesan ketika saya di sekolah rendah tentang arwah ayah saya menolak unsur rasuah. Ayah saya merupakan kerani di pejabat tanah. Pada suatu hari, datang seorang lelaki ke rumah. Di tangannya ada sehelai borang memohon tanah. Setelah ayah saya mengisi borang, dia menghulur sebungkus biskut coklat dan sekotak mancis.

Saya ingat lagi wajah ayah saya be-rubah melihat pemberian itu. Dia menolak. Lelaki itu berkeras menghulur. Akhirnya ayah saya mengambil biskut coklat tetapi menolak kotak mancis. (Suatu ketika dahulu, banyak modus operandi merasuah dibuat dengan menyelit wang di dalam kotak mancis).

Budaya

Artikel Berkaitan:

Sepulangnya lelaki itu, ayah saya bergegas memberi biskut coklat kepada ibu saya dan melarang keras saya memakannya. Beberapa hari kemudian, saya teringat biskut coklat itu dan mengambilnya di atas almari. Alangkah kecewanya saya apabila mendapati coklat itu sudah berulat!

Rasuah mula membudaya apabila seseorang itu mahu berurusan dengan pihak berkuasa. Meskipun banyak jalan rasuah telah ditutup melalui teknologi seperti permohonan secara online, banyak cara lain yang boleh terjadi. Yang memaksa pemohon melakukan rasuah adalah apabila anggota yang dipertanggungjawabkan menjalankan tugas tidak malu meminta rasuah.

Cara minta rasuah pun sudah canggih. Seorang kenalan saya terkena meskipun memasuki tender dan menang tender sejujurnya. Apabila tiba peringkat pembayaran, pihak yang membayar tidak akan melepaskan bayaran terakhir selagi si pemohon tidak berjanji ‘menghulur’ kepadanya. Kini, kenalan saya sudah pandai. Dia naikkan kos kerja hingga bayaran sepenuhnya telah diterima meskipun hanya 80 peratus bayaran. Baki 20 peratus lagi beliau tak tagih kerana tidak mahu menghulur.

Bukan senang untuk membanteras rasuah. Ia adalah perjuangan yang panjang. Seperti kata Hussamuddin, ia melibatkan dua pihak iaitu si pemberi dan si penerima. Namun kita kerap ditampilkan berita tentang si penerima yang menerima hukuman. Bagaimana pula si pemberi? Si penerima boleh dipenjara, dibuang mahupun ditukar tetapi si pemberi akan berjumpa dengan pucuk baharu yang akan menerima baja rasuah. Dialah hantu sebenar yang harus dihapuskan!

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!