Gugurnya perwira di 'medan perang' Covid-19
PUTRAJAYA - Setelah hampir setahun berperang dengan Covid-19, seorang doktor yang berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akhirnya menghembuskan nafas akhir dipercayai akibat terlampau penat dengan bebanan tugas yang dipikul.
Berita kematian Dr Ali Noor Hassan itu dikongsikan oleh Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) di laman Facebook lewat malam Selasa.
Menurut SPJM, Dr Ali yang juga ahli SPJM jatuh sakit setelah kerana beban kerja terlalu penat dan letih, selain kekurangan masa untuk beristirahat setelah bertugas di barisan hadapan KKM menangani Covid-19.
"Beliau tertidur ketika bertugas dan akhirnya pengsan," katanya.
SPJM berkata, Dr Ali juga seorang ahli khidmat dakwah dan sudah dua kali menyertai Ijtimak Jemaah Tabligh di Beaufort, Sabah.
"Setiap kali Ijtimak besar jemaah tabligh di Sabah, Dr Ali akan datang dari Selangor berkhidmat secara sukarela sebagai petugas perubatan bagi peserta ijtimak," katanya.
Dalam perkongsian itu, SPJM turut memuat naik sekeping gambar terakhir Dr Ali yang tertidur semasa bertugas dengan memakai pakaian perlindungan diri (PPE).
"Sekali lagi SPJM kehilangan seorang ahli yang begitu komited berkhidmat untuk ummah selepas pemergian Pengerusi SPJM Negeri Kedah, Tuan Haji Habibullah pada hari Jumaat lepas.
"Semoga ALLAH SWT menerima segala amal kebajikan beliau dan mengampuni segala dosanya yang lampau. Salam takziah buat ahli keluarganya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!