Peningkatan kos sara hidup bebankan penduduk luar bandar
YAN - Peningkatan kos sara hidup pada ketika ini dilihat memberikan beban yang sangat besar kepada penduduk luar bandar.
Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit berkata, kebanyakan penduduk luar bandar terutama di daerah Yan ini bergantung penuh pada hasil tanaman padi.
Katanya, sejak kebelakangan ini hasil tanaman itu merosot sangat teruk sehingga terdapat petani yang menanggung rugi.
"Tanaman padi mereka pada musim ini tidak menjadi kerana diserang tikus dan juga ulat," katanya.
Sabri berkata, golongan ini hidup dalam keadaan terbeban ditambah pula dengan kos sara hidup yang menghantui mereka," katanya.
Menurut Sabri, setelah lebih sembilan bulan mengambil alih pentadbiran, kerajaan PH dilihat masih belum menemui formula terbaik untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.
"Rakyat terus dibebani dengan harga barang yang semakin meningkat walaupun GST sudah dimansuhkan bermula 1 Jun tahun lalu," katanya.
Tambah Sabri, kerajaan didesak untuk menangani segera kos sara hidup yang semakin tinggi serta harga barang yang tidak menurun.
"Kita tidak mahu penduduk luar bandar hidup dalam keadaan tertekan dek kerana keperluan hidup yang semakin tinggi," katanya.
Pada 5 Februari lalu, Sinar Harian ada melaporkan berkaitan peningkatan kos sara hidup yang membuatkan rakyat terbeban.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!