Bantahan desak 'Selamatkan Gunung Pulai Baling'
BALING - Seramai 210 penduduk mengadakan bantahan aman di kaki Gunung Pulai hari ini bagi mendesak kerajaan negeri membatalkan projek kuari batu kapur yang akan beroperasi di kawasan itu.
Pengerusi Majlis Bertindak Bantahan Kuari Gunung Pulai, Mohd Sabri Mahmud, penduduk terpanggil untuk meneruskan bantahan apabila kerajaan negeri masih berdiam diri dalam isu itu.
Menurutnya, isu berkenaan masih tergantung walaupun kerajaan negeri seperti memberi jaminan akan menyelebelahi penduduk.
"Waktu demonstrasi kali ke lima tahun lepas, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata mahu hentikan projek jika operasi kuari itu mudaratkan penduduk.
"Tapi sekarang seperti tiada apa-apa, mesyuarat wakil penduduk bersama pihak syarikat pada 29 Januari lalu tidak menampakkan projek ini akan dihentikan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Menurutnya, sekiranya projek dijalankan, mereka akan menerima nasib seperti penduduk Bukit Puyuh Baling yang terjejas akibat kuari batu di kawasan itu.
"Projek di kawasan itu telah dijalankan pada 1969 dan masih beroperasi hingga hari ini.
"Penduduk di sana alami keretakan pada rumah akibat letupan kuari, penyakit serta banjir sisa kuari," katanya.
Tambahnya, dusun tanaman mereka juga terjejas.
"Penduduk tidak mahu apa berlaku di sana terjadi di sini," katanya.
Jelasnya, kesan lain jika projek itu dibenarkan beroperasi di Gunung Pulai akan memusnahkan ekosistem 12 gua, habitat haiwan dan tumbuh-tumbuhan semula jadi.
Projek berkenaan diluluskan pada zaman BN dan belum dibatalkan hingga kini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!