Pekerja pembersihan maut digilis MPV

Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang terperosok di bawah kenderaan dalam nahas di Kampung Kijing, Marang pagi Rabu. - Foto ihsan Polis
Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang terperosok di bawah kenderaan dalam nahas di Kampung Kijing, Marang pagi Rabu. - Foto ihsan Polis
A
A
A

MARANG- Seorang pekerja pembersihan maut apabila terjatuh, sebelum digilis sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kejadian di Kampung Kijing, pagi Rabu.

Dalam kejadian itu, Muhammad Hairi Mamat, 38, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.05 pagi membabitkan MPV jenis Perodua Alza yang dipandu seorang wanita berusia 28 tahun dan motosikal Honda EX5 yang ditunggang mangsa.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dari arah Kampung Kijing menghala ke Bukit Mawi, manakala pemandu wanita itu dari arah sebuah padang bola menghala ke Mahkamah Syariah Marang.

"Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu wanita yang datang dari jalan padang bola dipercayai telah keluar simpang dan melanggar mangsa di bahagian sisi sebelah kanan.

"Mangsa telah terjatuh di atas jalan dan digilis lalu terperosok di bawah. Akibat daripada pelanggaran itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Jelasnya, mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!