Permohonan tangguh bayaran balik PTPTN dibuka hari ini

PTPTN
PTPTN
A
A
A

SHAH ALAM - Permohonan penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk peminjam yang terjejas akibat banjir boleh dikemukakan secara dalam talian mulai 20 Januari sehingga 31 Mac depan tanpa memerlukan sebarang dokumen sokongan.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau juga meminta semua pegawai di agensi itu memproses permohonan tersebut dengan kaedah paling mudah dan berkesan.

Menurutnya, pegawai terbabit perlu memastikan proses permohonan berjalan lancar bagi meringankan beban peminjam yang terjejas.

“Kita tidak mahu birokrasi yang berlebihan dalam melaksanakan program bantuan ini di bawah inisiatif Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) sepertimana diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu.

"Saya harap penangguhan yang diberikan ini sedikit sebanyak akan membantu bebanan yang ditanggung oleh peminjam kami.

"Kita tidak akan berkompromi di dalam usaha memastikan kesejahteraan rakyat. Keputusan ini adalah bukti keprihatinan kita kepada mereka yang terjejas akibat musibah banjir yang melanda,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sementara itu Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, inisiatif penangguhan bayaran balik diperluaskan kepada mangsa banjir selepas bantuan sama sebelum ini diberikan kepada peminjam yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Menurutnya, permohonan boleh dilakukan secara dalam talian tanpa perlu hadir ke kaunter cawangan PTPTN juga merupakan antara keprihatinan agensi itu untuk memudahkan urusan peminjam.

Artikel Berkaitan:

“Penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN akibat bencana banjir ini akan diberikan untuk tempoh tiga bulan bermula pada bulan yang sama kelulusan permohonan.

“Kelulusan penangguhan akan dimaklumkan kepada peminjam melalui e-mel dalam tempoh tiga hari bekerja dari tarikh permohonan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!