40,810 calon SPM, STPM mula bersekolah di Perak
IPOH - Seramai 40,810 calon peperiksaan awam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di Perak telah memulakan sesi persekolahan secara bersemuka yang bermula pada Rabu.
Pengarah Pendidikan Perak, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali berkata, sesi persekolahan yang bermula secara serentak itu turut melibatkan 361,245 pelajar yang mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
"Sebanyak 1,102 sekolah beroperasi di seluruh negeri bermula hari ini (Rabu) iaitu 852 sekolah rendah dan 250 lagi sekolah menengah," katanya ringkas.
Tinjauan hari pertama sesi persekolahan secara bersemuka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson di sini pada Rabu mendapati, semua pelajar hadir dengan memakai pelitup muka dan pematuhan jarak fizikal.
Antara prosedur operasi standard (SOP) dilakukan adalah pemeriksaan suhu serta hanya guru dan individu yang mempunyai urusan dengan pihak sekolah sahaja dibenarkan masuk.
Sesi persekolahan di SMK Anderson melibatkan 229 pelajar Tingkatan Lima dan Enam yang merupakan calon SPM dan STPM 2020.
Perasaan gembira berbaur khuatir dikongsi ibu bapa dan pelajar yang mengikuti sesi persekolahan itu.
K Kesavani, 53, berkata, pembukaan sekolah kali ini agak mencabar kerana penularan wabak Covid-19 yang masih pada tahap membimbangkan.
Sebagai ibu katanya, dia tidak dapat lari daripada perasaan takut apatah lagi anak lelakinya, S Kumaran,18, yang akan menduduki SPM mempunyai masalah gangguan sinus yang agak teruk.
"Dari semalam (Selasa) lagi hati saya tak tenang mahu lepaskan anak ke sekolah, tapi apa boleh buat, kehadiran ke sekolah juga penting untuk hadapi peperiksaan.
"Saya dah maklumkan kepada pihak sekolah untuk tolong tengok-tengokkan anak saya, malah saya sendiri pun tunggu di luar pagar untuk pantau keadaannya, takut-takut jika ada apa-apa berlaku nanti," katanya ketika ditemui pemberita pada Rabu.
Rohaizat Ahmad, 42, pula menyambut baik pembukaan sesi persekolahan kali ini kerana dapat membantu mengurangkan tekanan pelajar yang menghadapi peperiksaan awam.
Katanya, pembelajaran di rumah secara dalam talian tidak sepenuhnya dapat membantu peningkatan pelajar.
"Saya tengok anak saya sudah agak tertekan bila mengadap komputer, sampai ada masa 'skip' kelas, jadi eloklah pembelajaran dalam kelas ini dimulakan kembali," katanya.
Calon STPM jurusan Sains Tulen, M Kamalhiswari, 20, teruja untuk mengikuti sesi pembelajaran dalam kelas yang disifatkan lebih praktikal berbanding secara maya.
Menurutnya, sebagai persediaan dia telah membuat ulangkaji mata pelajaran lebih awal dan menyediakan beberapa buku tambahan.
"Rasa lega bila dapat kembali ke sekolah, dalam kelas kita bebas untuk bertanya kepada guru dan rakan jika ada subjek yang tidak difahami, kalau online susah sikit," katanya.
Calon SPM, Muhammad Alif Danial Heirol Azhar, 18, berkata, pembelajaran dalam kelas membuatnya lebih fokus dan bersemangat.
"Kelas secara online bukan tidak bagus, cuma banyak kekangan seperti gangguan internet, bising dengan keadaan rumah dan sebagainya.
"Jadi eloklah pelajar yang nak menduduki peperiksaan itu, kembali belajar dalam kelas, ada cikgu yang boleh memantau," katanya.
Lim Kian Yi, 20, pula memberitahu, ibu bapanya paling gembira apabila sesi sekolah dibuka.
"Mungkin mereka pun dah jemu tengok muka saya di rumah, apa pun saya gembira sesi sekolah dibuka dan berharap dapat menghadapi peperiksaan dengan baik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!