Darurat perkasakan parlimen rakyat

Tangkap layar hantaran A Kadir di Facebook beliau pada Rabu.
Tangkap layar hantaran A Kadir di Facebook beliau pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Tempoh darurat sekarang berjaya memperkasakan parlimen rakyat yang mempunyai jutaan ahli yang berbahas di media sosial.

Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin berkata, ia adalah fenomena global dan Malaysia adalah antara negara di mana rakyat jelatanya paling cergas menggunakan media sosial.

Katanya, ketika ini demokrasi berparlimen tergantung dan tidak beroperasi akibat perisytiharan darurat walaupun ada gesaan supaya Parlimen dibenarkan bersidang.

"Maksudnya Parlimen bukan lagi tempat bersuara, membuat undang-undang dan melaksanakan semak dan imbang (check and balance). Tetapi ini tidak bermakna demokrasi, kebebasan bersuara dan semak-imbang juga tersekat. Sebaliknya ia menjadi lebih subur dan meluas.

"Cuma proses ini telah berpindah daripada Parlimen rasmi yang melibatkan 222 ahli (sekarang 220 kerana kematian) kepada parlimen rakyat atau 'the people's parliament'," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Rabu.

Beliau berkata, perkara itu disedari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) apabila mereka mengeluarkan kenyataan yang berbau amaran kepada pengguna media sosial agar berhati-hati berbahas mengenai darurat.

"Malangnya ia sendiri menjadi bahan pendedahan oleh media sosial yang menjurus ke arah penglibatannya dalam perang saraf bagi pihak kerajaan (atau parti kerajaan) menggunakan akaun popular yang dibeli atau diperoleh daripada orang ramai.

"Dakwaan ini sedang disiasat oleh sebuah jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Pastinya siasatan ini akan diperhatikan dengan penuh minat oleh penggiat media sosial yang berasa mereka telah digertak oleh SKMM," katanya.

Artikel Berkaitan:

A Kadir menjelaskan, pengaruh media sosial itu boleh juga dilihat dalam kes kebocoran surat Unit Penyelarasan Pelaksanaan mengenai arahan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkaitan pembinaan tiga buah dewan orang ramai di kawasan pilihan rayanya di Pagoh.

"Pada mulanya Jabatan Perdana Menteri buat tak endah dengan penyebaran surat itu. Permohonan pengesahan pun tidak dilayan. Hatta salam pun tidak dijawab.

"Tapi setelah isu itu meledak di media sosial dengan berbagai-bagai sumpah seranah terhadap kerajaan barulah budak-budak media dan komunikasi JPM terhegeh-hegeh mengeluarkan penjelasan," katanya.

Justeru, tegasnya, secara kesimpulannya, parlimen rakyat yang diperkasakan oleh internet dan media sosial mungkin lebih berkesan dalam membentuk persepsi berbanding media arus perdana dalam masa darurat sekarang.

Malah, katanya, jika Parlimen digantung terlalu lama, keyakinan terhadapnya juga akan dihakis oleh parlimen rakyat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!