'Selamat tinggal Delaware'
WASHINGTON - Bakal Presiden ke-46 Amerika Syarikat (AS), Joe Biden tidak dapat menahan sebak ketika beliau menyampaikan ucapan pada majlis perpisahan di Delaware pada Selasa sebelum pengganti Donald Trump itu diterbangkan ke Washington sempena acara pelantikan beliau.
"Apabila saya sudah tiada, Delaware akan tertulis dalam hati saya dan seluruh keturunan saya. Perjalanan seterusnya ke Washington bermula di sini.
"Saya tahu kita sedang berdepan waktu gelap, namun sentiasa ada sinar baharu dan negeri ini banyak mengajar saya tentang perkara itu," katanya yang turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penyokongya ketika berucap di ibu pejabat Pengawal Negara di Lapangan Terbang New Castle yang dinamakan sempena nama anak lelakinya, Beau yang meninggal dunia akibat barah otak pada 2015.
Biden yang berkhidmat sebagai Senator Delaware selama tiga dekad dan pernah cuba bertanding sebagai calon Presiden sebanyak dua kali turut menyuarakan rasa sedih kerana ketiadaan Beau untuk berkongsi detik manis tersebut.
"Saya berasa kesal kerana Beau tiada bersama kita. Jika tidak kita boleh perkenalkan dia sebagai Presiden. Jangan beritahu saya ada perkara tidak boleh berubah kerana ia boleh berlaku seperti itu.
"Saya sangat berbesar hati untuk menjadi Presiden baharu dan ketua komander seterusnya," ujarnya sambil mengalirkan air mata.
Sejurus acara penuh emosi itu, Biden bersama bakal Wanita Pertama, Jill menaiki pesawat yang disewa khas ke Washington dan selamat mendarat di Joint Base Andrews di Maryland.
Sumber rapat pentadbiran Biden memaklumkan, keputusan tidak menggunakan pesawat kerajaan adalah satu lagi perubahan protokol yang dibuat menjelang majlis angkat sumpah beliau sebagai langkah berjaga-jaga.
Selain itu, hasrat Biden yang mahu merasai perjalanan nostalgia dengan menaiki kereta api dari Delaware ke Washington juga tidak kesampaian berikutan risiko keselamatan yang tinggi.
Bekas Naib Presiden itu turut hadir di Tugu Peringatan Lincoln untuk memperingati hampir 400,000 mangsa korban pandemik Covid-19 di negara itu.
"Sudah tiba masanya untuk pulihkan negara ini. Ia adalah perkara yang penting untuk dilakukan sebagai sebuah negara," menurutnya ketika berucap pada acara tersebut.
Difahamkan, Biden juga akan menyertai upacara keagamaan bersama isteri dan Naib Presiden, Kamala Harris serta suaminya, Doug Emhoff sebelum bermalam di rumah tamu rasmi, Blair House sebelum beliau mengambil alih Rumah Putih sejurus dilantik sebagai Presiden baharu AS pada Rabu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!