Ambil tindakan tegas jika salah guna logo halal, manipulasi Islam
SHAH ALAM - Tindakan tegas perlu diambil dengan membatalkan pendaftaran syarikat yang menyalahgunakan logo halal dan memanipulasi imej Islam.
Pengerusi Yayasan Keperihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) Halim Ishak berkata, pihaknya memandang serius terhadap rungutan pengguna terutama orang Melayu terhadap lambakan produk milik bukan Islam yang sewenang-wenangnya menggunakan nama Melayu dan Islam.
"Penggunaan ini pada jenama produk mereka boleh menimbulkan ketidakselesaan dan keraguan kepada penguna Islam.
“MCCF melihat kempen memboikot produk milik pengusaha bukan Islam boleh menimbulkan ketegangan dan ketidakharmonian antara kaum.
"Jika ia dibiarkan tanpa sebarang tindakan ia boleh menjejaskan ekonomi negara dalam jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Dalam masa sama, Halim menggesa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memantau situasi ini dengan lebih tegas kerana ia membabitkan sensitiviti umat Islam di negara ini.
“Sebagai badan yang dipertanggungjawabkan di dalam menentukan status halal sesuatu produk, Jakim perlu lebih tegas dalam melaksanakan peruntukan sedia ada di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 selain Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 atas kesalahan menggunakan logo halal yang tidak diluluskan Jakim dan isu penggantungan ayat Al-Quran di restoran yang tidak mempunyai sijil halal,” ujarnya.
Menurut beliau, penggunaan logo halal dan kalimah Allah serta ayat-ayat suci al-Quran di restoran terutama yang bukan diusahakan oleh bukan Islam bukan perkara baharu malah isu ini sudah agak lama berlarutan.
“Walaupun sudah banyak tindakan diambil, namun masalah ini masih gagal diatasi sepenuhnya. Pemantauan serta tindakan lebih kerap perlu dilakukan.
"Ia bukan sahaja menyalahi undang-undang dan peraturan sedia ada tetapi juga dilihat sebagai satu tindakan atau cubaan untuk menipu pelanggan,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!