Seludup kosmetik Siam guna laluan tikus
RANTAU PANJANG - Pelbagai barangan kosmetik dianggarkan bernilai RM22,000 dari Thailand yang diseludup menggunakan laluan tidak sah dirampas oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu di pangkalan haram Pok Mat, Lubok Gong di sini pada Selasa.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9 Kuala Terengganu, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, rampasan itu dilakukan pada jam 11 malam ketika rondaan dilakukan di kawasan berkenaan.
“Kesemua barangan rampasan itu akan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini pada Rabu.
Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 7(1)(e) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Nor Azizan berkata, anggotanya menemui tiga kotak barangan kosmetik di tepi sebuah rumah yang tidak berpenghuni berhampiran pangkalan haram tersebut.
Beliau berkata, sebelum rampasan dilakukan pihaknya telah melakukan intipan hampir 30 minit di kawasan berkenaan.
“Bagaimanapun, tiada siapa yang datang mengambil barangan tersebut.
“Hasil pemeriksaan ke atas kotak tersebut membawa kepada penemuan pelbagai jenis barangan kosmetik seludup dari Thailand,” katanya.
Nor Azizan berkata, kesemua barangan rampasan dibawa balik ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!