Terengganu hadkan 40 jemaah solat Jumaat, 12 solat fardu
KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan membenarkan seramai 40 jemaah menunaikan solat Jumaat manakala 12 jemaah bagi solat fardu di masjid sepanjang penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula 22 Januari hingga 4 Februari di negeri berkenaan.
Yang Dipertua (YDP) Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Osman Muda berkata, kelonggaran itu diberikan itu dengan mewajibkan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Seramai 40 jemaah bagi solat Jumaat dibenarkan terdiri dalam kalangan anak mukim. Jumlah itu tidak termasuk imam, bilal, ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan mana-mana individu yang diberikan kelonggaran oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).
“Pelaksanaan solat fardu secara berjemaah di masjid dan surau pula dibenarkan kepada imam, bilal dan AJK masjid dengan bilangan tidak melebihi 12 orang,” katanya menerusi satu kenyataan, pada Rabu.
Sementara itu, katanya, sebarang aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan termasuk kuliah maghrib, subuh dan dhuha tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP.
“Jawatankuasa masjid dan surau diarahkan supaya mengamalkan dan memastikan semua SOP yang ditetapkan dipatuhi. Sebarang pelanggaran akan dikenakan tindakan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mengingatkan semua rakyat supaya tidak alpa dan sentiasa berwaspada dengan peningkatan kes positif Covid-19 di Terengganu.
“Baginda mendoakan agar wabak Covid-19 dapat dikawal dan rantaian penyebaran dapat diputuskan dengan segera supaya kehidupan rakyat jelata seperti sedia kala,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!