Pelabur asing tidak mudah terpedaya berhubung darurat
SHAH ALAM - Pelabur asing tidak akan mudah terperdaya dengan penjelasan kerajaan bahawa darurat dan penggantungan Parlimen dilaksanakan untuk menangani pandemik Covid-19.
Menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, pelabur asing mengetahui bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan dengan betul adalah lebih daripada cukup untuk mengekang penularan tersebut.
Katanya, keadaan darurat berlaku adalah kerana ketidakstabilan politik dan kelemahan tadbir urus serta kegagalan dalam membendung Covid-19 oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Kerajaan PN harus berhenti hidup dalam penafian bahawa keadaan darurat tidak akan membantu menarik pelabur asing.
“Sebelum darurat dilaksanakan, Fitch Ratings telah menurunkan penarafan kredit negara Malaysia tahun lalu.
“Untuk pertama kalinya dalam tempoh 20 tahun ke tahap yang sama dengan Indonesia dan Filipina, kerana ketidakstabilan politik dan tadbir urus yang lemah,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Dalam masa sama, Guan Eng berkata, penarafan kredit negara juga telah menurun ketika Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih belum kehilangan majoriti Parlimennya.
Tambahnya, darurat diisytiharkan dan Parlimen digantung setelah Muyhiddin kehilangan majoriti yang menambah buruk ketidakstabilan politik.
“Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Kanan, Mohamed Azmin Ali adalah salah kerana mengatakan bahawa darurat dan penggantungan Parlimen yang disebabkan oleh ketidakstabilan politik, tidak akan menakutkan pelabur asing.
“Adakah mereka membayangkan bahawa darurat dan penggantungan demokrasi berparlimen akan menarik lebih banyak pelaburan asing?” soalnya.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, tadbir urus dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang mengendalikan puluhan bilion ringgit dana awam telah merosot dengan pelantikan ahli politik dan pendedahan penyelewengan kewangan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen.
Katanya, pelabur asing tidak akan meyakini bahawa penggantungan Parlimen adalah untuk mengekang Covid-19 kerana kerajaan menghentikan ujian saringan penuh semua kontak rapat yang positif dan mengabaikan pelaksanaan 3T; saringan, pengesanan dan rawatan secara menyeluruh.
Menurut beliau, pelabur asing telah berpindah lebih awal ke negara lain sebelum darurat diumumkan.
“Hyundai telah memindahkan Ibu Pejabat wilayah Asia Pasifiknya bagi 33 negara dari Kuala Lumpur ke Indonesia.
“Indonesia telah mendahului Malaysia tahun lalu dalam pelaburan asing dengan pelaburan daripada syarikat terkemuka seperti Hyundai berjumlah RM4 bilion, Toyota (RM8 bilion), CATL (bateri) (RM20 bilion) dan LG Chemical (RM40 bilion).
“Pelabur asing tidak akan merasa mengagumi Malaysia sebagai negara pertama di Asia yang menggantung demokrasi berparlimen namun ia adalah petunjuk jelas terhadap ketidakstabilan politik yang kronik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!