Siak masjid ditemui maut dipercayai terjatuh
DUNGUN - Seorang siak masjid ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran Masjid Hadhari Paka, di sini pada Rabu.
Bagaimanapun, mangsa Abdul Hamid Mat Zahari, 45, disahkan meninggal dunia sewaktu pemeriksaan lanjut oleh pasukan perubatan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mangsa sebelum itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh bilal masjid berkenaan, Che Ku Mohd Fauzi Che Engku Mohd Razali pada jam 12.50 tengah hari.
"Semasa keluar dari tandas masjid, saksi yang juga bilal masjid itu telah terlihat mangsa berada di dalam longkang.
"Dia kemudiannya menelefon Klinik Kesihatan Paka dan pasukan perubatan yang tiba di tempat kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia," katanya.
Jelas beliau, siasatan mendapati, terdapat wayar kabel tiang lampu di antara kaki mangsa.
Mangsa dipercayai terjatuh disebabkan kabel tersebut dan siasatan di tempat kejadian mendapati, tiada sebarang unsur jenayah.
Mayat mangsa kemudiannya telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!