Empat warga Yemen ditahan cuba rentas negeri
KEMAMAN - Seramai empat orang lelaki warga Yemen dari Kuantan, Pahang ditahan sewaktu cuba merentas negeri dalam sekatan jalan raya (SJR) di simpang Paya Berenjut, di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, warga asing yang ditahan itu berusia antara 23 hingga 33 tahun dan ditahan kira-kira jam 11 malam.
Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota polis yang sedang melakukan pemantauan itu telah menahan sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dinaiki keempat-empat suspek.
"Semasa soal siasat, pemandu kereta mengemukakan pasport manakala dua lagi penumpang mengemukakan kad UNHCR dan seorang lagi gagal berbuat demikian.
"Apabila diminta mengemukakan surat pengesahan majikan dan surat kebenaran merentas negeri, kesemuanya gagal berbuat demikian," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Jelasnya, hasil siasatan lanjut mendapati, mereka dikatakan dalam perjalanan untuk bekerja di sebuah restoran di daerah ini.
Kesemua warga Yemen yang ditahan itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman untuk siasatan lanjut.
Mereka kini disiasat di bawah Peraturan 15 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) (kawalan pergerakan) (pindaan) 2021, Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!