PdPR norma baharu sesi persekolahan penggal 2021
BOLEH tahan ‘meriah’ laman-laman sosial sejak awal pagi semalam. Merak Jalanan perhati, ibu bapa adalah golongan paling sibuk.
Mana tidaknya, anak mereka sudah mula bersekolah.
Masing-masing ligat bercerita hari pertama persekolahan anak mereka. Maklumlah, sesi persekolahan kali ini agak berbeza.
Tanpa kita semua jangka, sesi persekolahan awal tahun ini dibuka dengan norma baharu.
Kecuali calon yang akan menduduki peperiksaan utama tahun 2020, semua murid sekolah rendah dan pelajar Tingkatan Satu hingga Lima harus mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Maka secara rasmi bermulanya ‘sesi persekolahan’ 2021 di rumah.
Secara tidak langsung jugalah ibu bapa mahupun penjaga bertindak sebagai guru. Merah Jalanan harus puji ibu bapa yang sudah bersedia awal dengan PdPR.
Tetapi bagi ibu bapa yang tidak bersedia atau masih belum bersedia, Merak Jalanan percaya mereka pasti berdepan beberapa kekangan.
Antaranya menyediakan akses internet di rumah mahupun kemudahan lain seperti komputer riba atau telefon pintar.
Merak Jalanan sendiri pernah berbual dengan beberapa orang rakan tentang hal ini. Kata mereka, tak semua ibu bapa dapat menyediakan kemudahan akses internet di rumah masing-masing.
Tambahan dalam situasi sekarang, sudah tentu ada ibu bapa yang perlu membuat ‘kunci kira-kira’. Mana yang dirasakan lebih penting didahulukan.
Mana yang dirasakan kurang penting diketepikan buat seketika.
Seperkara lagi harus diingat, jika ada ibu bapa yang mampu menyediakan akses internet di rumah, bagaimana pula capaiannya. Lebih terkesan bagi mereka yang berada di kampung-kampung serta di kawasan pedalaman.
Apa sekalipun kekangan yang mendatang, Merak Jalanan percaya bahawa setiap ibu bapa mahukan yang terbaik buat anak-anak mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!