Benarkan juga makan di restoran
KAEDAH prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membenarkan kedai makan dan restoran menjalankan perniagaan antara jam 6 pagi hingga 8 malam.
Pengguna hanya dibenarkan membungkus makanan untuk dibawa pulang ke rumah atau pejabat, bagi mereka yang bekerja.
SOP itu jelas telah menjejaskan perniagaan kedai makan.
Boleh dikatakan semua pengusaha restoran dan kedai makan serta para pemilik gerai di tepi jalan melaporkan mereka mengalami kemerosotan jualan berbanding hari-hari biasa.
Misalnya seorang pemilik restoran yang saya kenali di Shah Alam, Selangor memberitahu bahawa perniagaannya mengalami kemerosotan 70 peratus berikutan pelaksanaan PKP minggu lalu.
Yang lain pula mengadu kemerosotan pendapatan sehingga 80 peratus.
Yang bernasib baik hanya mengalami penurunan jualan sebanyak 50 peratus.Justeru ada gerakan dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan yang mewakili pengusaha restoran merayu kerajaan supaya melanjutkan waktu operasi kedai makan dan restoran sehingga pukul 10 malam.
Kerajaan yang sering menggembar-gemburkan dirinya sebagai prihatin dengan nasib rakyat khabarnya sedang menimbang rayuan tersebut. Sewajarnyalah begitu.
Hal ini kerana dengan melanjutkan tempoh operasi kedai makanan lagi dua jam memberi peluang kepada pengusaha untuk menambah jualan masing-masing.
Tetapi melanjutkan waktu operasi kedai makan belum tentu lagi menjamin perniagaan yang mengalami kemerosotan akan kembali normal.
Hal ini dikatakan demikian kerana konsep perniagaan restoran dan kafe adalah untuk memberi peluang kepada para pengguna untuk makan di premis di tempat makanan pilihan dan kegemaran masing-masing.
Bagi mereka yang bujang atau bagi kalangan yang sudah berumah tangga, tetapi lebih selesa makan di restoran atau kafe kebenaran ini akan memberi peluang kepada mereka untuk membantu pertumbuhan ekonomi.
Pada waktu PKP 2.0 ini, mereka dinafikan peluang itu.
Justeru, selain melanjutkan waktu operasi restoran dan kafe, kerajaan juga wajar menimbang untuk membenarkan semula pengguna untuk makan di restoran, kafe, gerai sebagai satu langkah tambahan untuk membantu pengusaha makanan merancakkan kembali perniagaan masing-masing semasa PKP ini.
Barang diingat PKP bukannya perintah berkurung. Darurat yang sedang berkuat kuasa sekarang juga tidak bertujuan untuk mengurung rakyat di rumah. PKP lebih bertujuan untuk mengawal pergerakan rakyat.
Justeru, membenarkan pengguna makan di kedai-kedai makan tidak boleh dilihat sebagai bercanggah dengan PKP itu sendiri.
Yang penting adalah untuk mereka yang makan di restoran dan kafe mematuhi SOP PKP, menjaga jarak fizikal (dua orang semeja dan jarak meja ke meja dua meter), memakai pelitup muka dan mengukur suhu badan.
Asalkan SOP PKP itu dipatuhi, tidak ada masalah untuk orang ramai makan semula di kedai-kedai makan.
Sekiranya terdapat pelanggaran SOP, tindakan keras boleh dikenakan terhadap pemilik restoran, tetapi juga pengguna yang sedang menjamu selera.
Kebenaran makan di restoran ini penting untuk pengusaha kedai makanan kerana bilangan pembeli yang datang membeli makanan agak terhad masa PKP ini.
Pada waktu yang sama pengusaha juga berupaya untuk menghidangkan semula pelbagai jenis resipi yang ditawarkan kepada pengguna seperti sebelum PKP.
Hal ini kerana berikutan pelaksanaan PKP yang melarang pengguna menjamu selera di premis, pengusaha hanya menyediakan hidangan asas bagi tujuan dibungkus untuk dibawa pulang.
Ini dilakukan bagi tujuan mengawal kerugian dan pembaziran yang mungkin dialami sekiranya sajian itu tidak dibeli kerana pelanggan yang datang untuk membungkus makanan berkurangan dengan banyaknya.
Adalah jelas bahawa sekiranya kerajaan serius untuk membantu pengusaha makanan yang terkesan bisnes mereka susulan pelaksanaan PKP, pihak berkuasa bukan sahaja wajar melanjutkan waktu operasi perniagaan, tetapi membenarkan pelanggan menjamu selera di restoran dan kafe.
Percayalah jika keputusan tersebut diambil, maka rangkaian pembekal pelbagai bahan mentah kepada kedai makan juga akan mendapat faedah dan limpahan ekonominya.
*Datuk Dr Chamil Wariya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!