Pilu, gadis buta kini derita kanser tulang

Amir menyampaikan sumbangan kepada Mohd Khir (kiri) sebanyak RM5,000 bagi meringankan beban keluarga itu.
Amir menyampaikan sumbangan kepada Mohd Khir (kiri) sebanyak RM5,000 bagi meringankan beban keluarga itu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang remaja hilang penglihatan sejak kecil apabila kedua-dua belah matanya dibuang akibat kanser dan kini penyakit itu menular ke bahagian kakinya.

Penderitaan Nor Ain Balqis, 13, itu amat meresahkan ibu bapanya, Hassilawati Salim, 45 dan Mohd Khir Hassan, 54.

Menceritakan keadaan anaknya itu Hassilawati berkata, mata kanan Nor Ain Balqis dibuang sejak dia berusia tiga bulan manakala mata kirinya pula dibuang pada usianya 7 tahun susulan sel kanser yang merebak.

"Pada Julai tahun lepas, dia merungut berasa lenguh pada kaki selain ia semakin membengkak. Alangkah terkejutnya kami sekeluarga apabila doktor mengesahkan dia menghidap kanser tulang," kata wanita tersebut.

Mereka anak beranak menetap di Tanjung Dawai.

Tambah Hassilawati, anak tunggalnya itu kemudian menjalani pembedahan untuk memasukkan besi pada paha kirinya menyebabkan pergerakan remaja itu terbatas dan hanya menggunakan kerusi roda.

Cukup meruntun hati dengan nasib Nor Ain Balqis kerana dia juga sering demam namun tidak dapat dibawa untuk mendapatkan rawatan segera memandangkan mereka tidak mempunyai kereta.

Menurut Hassilawati, keluarga itu hanya bergantung harap kepada pendapatan suaminya yang bekerja sebagai nelayan dan sering berdepan masalah kewangan memandangkan sesi rawatan kimoterapi di Hospital Pulau Pinang memerlukan masa panjang serta kos perbelanjaan tinggi.

Artikel Berkaitan:

Ujian berganda buat mereka ini apabila ketua keluarga pula diberhentikan kerja berikutan sering memohon cuti bagi menguruskan anak yang sakit.

Penderitaan keluarga tersebut akhirnya mendapat perhatian Pengerusi Skuad Aspirasi Peduli Ummah, Dr Amir Mohd Nason yang menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000.

Hadir sama, Setiausaha Angkatan Belia Islam Malaysia Daerah Kuala Muda Adib Aiman Abd Manaf.

Difahamkan, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat telah diluluskan sebanyak RM200 sebulan bermula Januari tahun ini.

Sementara itu orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian melalui akaun bank BSN bernombor 0211629000125028 atas nama Hassilawati.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!