Pemuda UMNO Selangor beri keutamaan perangi rasuah

 Rizam Ismail
Rizam Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO Selangor akan terus memberi keutamaan dalam usaha memerangi budaya rasuah dalam kalangan ahli parti itu.

Ketuanya, Rizam Ismail berkata, memerangi gejala tidak sihat itu bukan hanya kepada penerimanya, bahkan kepada pemberi rasuah.

Tegas beliau, sebarang tawaran rasuah daripada mana-mana pihak perlu dilapor bagi memastikan isu itu ditangani lebih menyeluruh dan berkesan.

"Menerusi Indeks Persepsi Rasuah (CPI) oleh Transparency International (TI) menunjukkan Malaysia berada pada tangga ke-61 daripada 180 negara dengan markah sebanyak 47 mata.

"Ini sangat menyedihkan dan perlu diambil tindakan oleh semua lapisan masyarakat kerana rasuah ini tidak mengenal pangkat dan darjat," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menyahut seruan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menyambut baik gerakan dipelopori Sinar Harian untuk mempromosi agenda jihad memulihkan moral bangsa khususnya dalam memerangi rasuah yang masih membelenggu negara ketika ini.

Rizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar berkata, semua pihak perlu diingatkan untuk meningkatkan iltizam dalam memperkukuhkan integriti, mengamalkan gaya hidup sederhana di samping mendidik diri agar jijik dengan rasuah yang boleh merosakkan negara serta masa depan generasi muda.

"Justeru agenda memerangi rasuah ini perlu diberi keutamaan oleh semua dan sudah pasti menjadi keutamaan Pemuda UMNO Selangor," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan, Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub mahukan satu gerakan massa dilakukan bagi membanteras rasuah dan penyelewengan di negara ini melalui penubuhan satu pasukan khas iaitu 'Sinar Rasuah Busters'.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!