Harga rokok sah perlu diturunkan
PENGANALISIS pelaburan dan ekonomi serta pengulas isu semasa, Pankaj Kumar dalam satu forum bersetuju harga rokok sah yang murah dapat mengatasi masalah pasaran rokok seludup yang semakin membimbangkan.
Malah beliau turut bersetuju dengan keperluan untuk merapatkan jurang harga antara rokok sah dengan yang diseludup.
Beliau berkata, faktor harga produk adalah antara punca utama rokok seludup menjadi pilihan pengguna berbanding produk yang diedarkan secara sah pada harga lebih mahal kerana duti eksais tinggi.
"Demografi perokok hari ini dikuasai oleh segmen B40. Soal mampu dibeli adalah satu isu. Selepas kerajaan menaikkan duti eksais dengan begitu tinggi pada 2015, harga rokok sah meningkat sebanyak 40 peratus kepada 42 peratus," katanya.
Impak negatifnya ialah bukan sekadar kehilangan hasil cukai tetapi juga kemunculan Malaysia sebagai negara nombor satu di dunia sebagai pasaran rokok seludup.
Jika mereka merokok rokok sah pada purata 20 kotak sebulan, ia adalah antara 15 hingga 16 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan mereka. Kos itu terlalu tinggi sedangkan alternatif lebih murah tersedia ada iaitu rokok seludup.
Menganggarkan sekotak 20 batang rokok berharga RM17.40 dan jika seseorang merokok 20 kotak sebulan, ia berjumlah RM350 sebulan atau bersamaan kepada 16 peratus daripada Pendapatan Garisan Kemiskinan (PLI) sebanyak RM2,208 sebulan pada 2019.
Dengan beban perbelanjaan sebegitu tinggi, sudah tentunya perokok dalam kalangan B40 ini mahukan sesuatu yang lebih murah. Mereka tidak mampu membeli rokok sah pada masa ini
Pada sidang Dewan Rakyat yang lalu pada bulan Disember 2020, Datuk Seri Ahmad Maslan turut mencadangkan agar cukai tembakau dikurangkan untuk mengekang pasaran gelap kerana 64 peratus rokok yang dijual di negara ini adalah rokok haram, hanya 36 peratus sahaja rokok sah.
Ahli Parlimen Pontian itu berkata, cadangan itu boleh dilaksanakan dalam program perintis dalam tempoh dua tahun untuk membolehkan syarikat tembakau menjual rokok sah pada harga RM8 sekotak, yang lebih dekat dengan harga sebungkus rokok haram dalam usaha menangani kerugian pendapatan tembakau sebanyak RM5 bilion setiap tahun.
Adakah penurunan harga rokok akan berjaya menegurangkan pasaran rokok seludup? Cadangan Ahmad itu sebenarnya sudah dipraktikkan di beberapa negara antaranya Turki.
Pada akhir Disember 2020, Turki telah menurunkan cukai penggunaan khas rokok dan produk tembakau kepada 63 peratus sebagai langkah yang dapat membantu mengurangkan tekanan inflasi.
Langkah ini berlaku hanya lima bulan selepas Turki mengenakan larangan penjualan rokok gulung tangan (hand-rolled cigarettes) setelah kenaikan harga rokok mendorong perokok ke kedai tembakau yang harganya jauh lebih murah tetapi kandungannya sukar dikesan - yang merupakan masalah yang sangat biasa berlaku di Malaysia.
Malangnya, Malaysia adalah peneraju global dalam perdagangan rokok haram. Ya, sebanyak 64.5 peratus daripada jumlah rokok yang dijual di negara ini adalah rokok haram iaitu kira-kira 12 bilion batang rokok seludup yang dijual dalam setahun.
Isu ini adalah sebahagian daripada ekonomi bayangan Malaysia yang dinyatakan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyumbang 21 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau sekitar RM300 bilion setiap tahun.
Kerajaan telah mengumumkan langkah-langkah untuk menangani perdagangan rokok haram pada pembentangan Belanjawan 2021, termasuk membekukan pengeluaran lesen import rokok baharu.
Kerajaan turut mengetatkan pembaharuan lesen import rokok menerusi kajian semula syarat-syarat pengimportan termasuk mengenakan kuota import dan mengehadkan aktiviti penghantaran rokok kepada pelabuhan tertentu.
Tetapi ada yang mengatakan bahawa tindakan itu tidak mencukupi.
Untuk mengatasi hal ini, Pengerusi Tricor Malaysia yang juga Presiden Institut Akauntan Malaysia, Dr Veerinderjeet Singh mengesyorkan agar syarikat tembakau diizinkan untuk memperkenalkan produk baru yang dikenakan cukai dengan kadar yang lebih rendah melalui tingkat cukai baru.
Beliau mengatakan ini akan mewujudkan segmen rokok sah yang lebih rendah yang dapat bersaing dengan rokok haram berdasarkan harga.
Veerinderjeet berkata, apabila cukai bagi produk itu terlalu mahal, memang semula jadi untuk orang ramai memilih yang lebih murah.
"Kita menyaksikan cukai eksais dikenakan ke atas produk dan cukai tinggi jelas bukan penyelesaiannya. Penyelesaiannya patut menurunkan cukai eksais ke atas rokok bersama-sama langkah penguatkuasaan lebih tegas dan pendidikan kesedaran kepada orang ramai," katanya.
Beliau berkata, sekiranya menurunkan keseluruhan struktur cukai tidak boleh dilakukan, maka kerajaan patut mempertimbangkan untuk membenarkan syarikat rokok memperkenalkan produk baharu, dicukaikan pada kadar lebih rendah menerusi tahap percukaian baharu.
"Ia akan mewujudkan segmen rokok sah berharga lebih berdaya saing dengan rokok seludup, berdasarkan harga," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!