Covid-19 percepat pertumbuhan ekonomi digital Malaysia: Muhyiddin

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penularan pandemik Covid-19 yang menjejaskan dunia sejak awal tahun lepas, terbukti telah mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital di Malaysia.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sejak pandemik itu bermula, keadaan telah mengalami perubahan secara drastik pada setiap hari dan ada masanya berlaku setiap jam.

Justeru, menyedari kepentingan itu, kerajaan telah mengenal pasti ekonomi digital sebagai antara bidang pertumbuhan ekonomi utama bagi mencapai komitmen memajukan Malaysia sebagai negara yang mempunyai pertumbuhan mampan selain memastikan pengagihan secara adil dan saksama dalam kalangan penduduk, etnik dan wilayah.

“Kita akan terus memacu janji kemakmuran bersama untuk semua dengan menumpukan usaha memperkasa rakyat menerusi kemahiran digital, pengupayaan perniagaan yang dijana secara digital serta melonjakkan pelaburan digital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Pertama (ADGMIN1) dan mesyuarat lain berkaitan secara telesidang di sini pada Khamis.

Selain itu, Perdana Menteri juga percaya bahawa pandemik Covid-19 itu juga telah memberi lonjakan di luar jangka bagi membolehkan kalangan negara-negara anggota ASEAN mempercepatkan usaha digital masing-masing.

Muhyiddin
Muhyiddin

Malah, beliau berkata, tidak dinafikan lagi bahawa ASEAN telah mencatat perkembangan dalam persekitaran digital walaupun tahapnya mungkin berbeza bagi setiap kawasan atau negara anggotanya.

Artikel Berkaitan:

“Sebagaimana anda semua sedia maklum, Pelan Tindakan Komuniti ASEAN 2025 (AEC 2025) telah memperakui kepentingan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai pemacu utama dalam transformasi ekonomi dan sosial ASEAN.

“Ia juga jelas menyatakan bahawa AEC 2025 bermatlamat untuk melonjakkan ASEAN ke arah ekonomi berkeupayaan digital yang terjamin, mampan serta mampu mentransformasi serta seterusnya dapat memanfaatkan lagi ICT bagi mewujudkan ASEAN yang inovatif, inklusif dan saling berintegrasi,” kata beliau.

Muhyiddin juga mengingatkan kepentingan untuk menitikberatkan langkah-langkah strategik utama ICT yang telah digariskan dengan penekanan terhadap aspek pemusatan dan perpaduan bagi usaha memajukan Komuniti ASEAN dalam bidang keselamatan siber, perlindungan data peribadi, teknologi 5G dan menggalakkan inovasi serta e-dagang. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!