Mexico sambut baik keputusan Biden henti pembinaan tembok sempadan
MEXICO CITY - Mexico pada Rabu memuji langkah Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden untuk tidak meneruskan projek pembinaan tembok di sepanjang sempadan AS-Mexico serta reformasi berkaitan hal ehwal imigresen.
Menteri Luar, Marcelo Ebrard dalam ciapannya di Twitter menyifatkan langkah itu sebagai lembaran baharu dalam hubungan dua negara yang sebelum ini suram di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump.
"Mexico menyambut baik arahan menghentikan pembinaan tembok sempadan, inisiatif yang memihak kepada DACA dan peluang untuk permohonan dua kewarganegaraan," katanya.
DACA merujuk kepada program Tindakan Penagguhan Untuk Ketibaan Kanak-Kanak iaitu dasar imigresen yang membenarkan sesetengah individu yang tinggal di AS secara tidak sah dengan syarat mereka mesti tiba ke negara Uncle Sam itu ketika masih kanak-kanak.
Program DACA sebelum ini cuba dihapuskan Trump dan semasa kempen pilihan raya pada 2016, Presiden satu penggal AS itu cuba 'menghalalkan' tindakan tersebut dengan menggelar pendatang dari Mexico sebagai perogol dan pengedar dadah serta berjanji untuk membina tembok di sepanjang selatan sempadan negara.
Biden dijangka menandatangani 17 perintah eksekutif lain yang akan membatalkan beberapa dasar pentadbiran bekas Presiden terdahulu termasuk menyertai semula Perjanjian Iklim Paris dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), menamatkan projek saluran paip Keystone XL dan menarik balik larangan perjalanan ke atas orang Islam. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!