Dua lelaki kantoi bawa syabu
SEBERANG PERAI TENGAH- Dua lelaki ditahan selepas kantoi membawa dadah jenis syabu seberat 154 gram yang diletakkan dalam beg sandang.
Kedua-duanya yang menaiki sebuah kereta Proton Waja ditahan dalam sekatan jalan raya Ops Cegah Jenayah di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) pada jam 11 malam, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pemeriksaan ke atas beg sandang suspek pertama menjumpai dua bungkus plastik lut sinar yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine.
Menurutnya, bagaimanapun, kedua-dua lelaki itu tidak mengaku dadah yang bernilai RM23,100 itu adalah milik mereka.
"Suspek pertama berusia 38 tahun berasal dari Kota Kuala Muda, Kedah dan masih bujang manakala suspek kedua berusia 29 tahun yang berasal dari Tikam Batu, Sungai Petani sudah berkahwin. Kedua-duanya tidak bekerja dan ujian saringan dadah positif.
"Suspek pertama mempunyai dua rekod jenayah melibatkan kesalahan dadah manakala rakannya mempunyai empat rekod sama. Kedua-duanya ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya ketika dihubungi tadi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!