Biden terima ucapan tahniah daripada pemimpin dunia
WASHINGTON - Beberapa pemimpin dunia menyatakan mereka bersedia untuk bekerjasama dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-46, Joe Biden yang mengangkat sumpah jawatan di bangunan Capitol, Washington pada Rabu.
Sebelum ini hubungan antara beberapa buah negara berdepan dengan masalah yang dingin ketika AS berada di bawah pemerintah Donald Trump yang mula mentadbir negara itu pada tahun 2017 selepas memenangi pilihan raya Presiden dengan menewaskan bekas Setiausaha Negara, Hillary Clinton.
Menurut AFP, Presiden Majlis Eropah, Charles Michel mengucapkan tahniah kepada Biden dan Naib Presiden AS, Kamala Harris menerusi Twitter dengan membuat ciapan bahawa sudah tiba masanya hubungan antara Kesatuan Eropah (EU) dengan AS diberikan nafas baharu.
Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen berkata: "Eropah sedia memulakan satu permulaan baharu."
Para pemimpin di negara-negara Teluk seperti Kuwait, Qatar, Bahrain, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut menghantar ucapan tahniah kepada Biden yang menggantikan Trump selepas beliau memenangi pilihan raya Presiden AS pada 3 November tahun lalu.
Presiden Palestin, Mahmud Abbas berkata, beliau tidak sabar untuk bekerjasama dengan Biden bagi keamanan dan kestabilan di rantau Asia Barat dan di dunia.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu turut menggesa Presiden AS itu mengukuhkan ikatan hubungan antara kedua-dua buah negara.
"Saya memandang ke hadapan untuk bekerjasama dengan anda untuk mengukuhkan ikatan hubungan AS-Israel, meneruskan usaha meningkatkan keamanan antara Israel dengan dunia Arab dan bagi menghadapi cabaran-cabaran yang sama antaranya adalah tentang ancaman daripada Iran," kata Netanyahu menerusi satu sidang video.
Presiden Iran, Hassan Rouhani menghormati pemergian Trump yang tidak lagi memegang jawatan Presiden AS.
Teheran juga berulang kali mendesak Washington menarik balik sekatan yang dilaksanakan ke atas negara itu berhubung isu-isu nuklear.
Jurucakap kerajaan Rusia, Dmitry Peskov berkata, negaranya akan berusaha mewujudkan hubungan baik dengan AS manakala Kementerian Luar Rusia berkata, ia berharap pendekatan lebih konstruktif dapat dilakukan dalam rundingan mengenai kawalan senjata nuklear.
Negara-negara Asia seperti India, Jepun dan Korea Selatan turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Biden.
Ketua Gereja Roman Katolik, Pope Francis menggesa Biden untuk mempromosikan keamanan dan perdamaian di seluruh dunia.
Pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II menghantar mesej peribadi kepada Presiden AS itu sebelum beliau mengangkat sumpah jawatan, kata Istana Buckingham tanpa mendedahkan butiran lanjut.
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson berkata, beliau akan bekerjasama rapat dengan Biden bagi menangani pandemik koronavirus (Covid-19), isu perubahan cuaca, pertahanan, mempromosikan dan mempertahankan demokrasi.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau menjanjikan kerjasama dalam membendung penularan Covid-19 dengan dan pemulihan ekonomi dengan AS manakala Perdana Menteri Ireland, Micheal Martin berharap kerjasama rapat dapat diwujudkan dengan Biden.
Canselor Jerman, Angela Merkel pula berharap satu babak baharu akan wujud antara negaranya dengan AS manakala Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengalu-alukan tindakan Biden untuk menyertai semula Perjanjian Paris iaitu perjanjian bagi menghadapi isu-isu perubahan cuaca dunia. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!