Datuk dan rakan mengaku salah pukul pelanggan restoran
PETALING JAYA - Dua pengarah syarikat termasuk seorang bergelar Datuk, yang tular di media sosial dalam pergaduhan di kedai makan di Tropicana Avenue, Damansara didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis, atas tujuh pertuduhan memukul pelanggan restoran dan membuat kekecohan, minggu lalu.
Datuk Tan Wai Khan, 43, didakwa atas lima pertuduhan manakala rakannya, Ang Mow Loong, berdepan dua pertuduhan.
Wai Khan mengaku bersalah atas empat pertuduhan memukul namun mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan memecahkan pinggan mangkuk, sementara Mow Loong mengaku bersalah atas dua pertuduhan memukul dan mengundang kegusaran kepada pelanggan restoran.
Mereka membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim.
Mengikut dua pertuduhan, Wai Khan didakwa sengaja mendatangkan kecederaan dengan memukul Magdelene Wong Chun Yi, 31, dan Lee Dek Quan, 26,di sebuah restoran di Tropicana Avenue, pada jam 9 malam, 12 Januari lalu.
Bagi dua lagi pertuduhan berasingan, Wai Khan dan Mow Loong didakwa bersama-sama atas pertuduhan mendatangkan kecederaan dengan memukul Kwan Pei Choong, 31, di lokasi, masa dan tarikh sama.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.
Sementara dua lagi pertuduhan, kedua-dua tertuduh didapati bersama-sama melakukan kacau ganggu yang menyebabkan kegusaran kepada pelanggan dan pekerja restoran itu.
Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM400.
Bagaimanapun, bagi pertuduhan kelima, Wai Khan tidak mengaku bersalah melakukan khianat dengan memecahkan pinggan mangkuk milik Pei Choong di lokasi, masa dan tarikh sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 12 bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Zubaidah Mahat mencadangkan kadar ikat jamin ditetapkan sebanyak RM7,000 seorang, bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Datuk Suraj Singh merayu agar amaun ikat jamin anak guamnya diletakkan pada kadar rendah.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Nurshahira membenarkan ikat jamin sebanyak RM2,000 seorang bagi setiap pertuduhan.
Mahkamah menetapkan 2 April untuk serahan dokumen dan jatuh hukum.
Sebelum itu di luar mahkamah, kedua-dua tertuduh bertemu pemberita dan menyatakan kekesalan mereka berhubung kejadian berkenaan.
Wai Khan yang memohon maaf dalam bahasa Kantonis berkata, dia insaf dan kesal dengan sikapnya yang mengasari mangsa terutama wanita terbabit.
Minggu lalu, Sinar Harian melaporkan, dua individu termasuk seorang lelaki bergelar Datuk ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pukul seorang pengurus di sebuah restoran di Tropicana Avenue, di sini.
Berdasarkan siasatan awal polis, mangsa dipukul kerana menegur suspek yang duduk di meja bersebelahan kerana bercakap dalam nada suara yang tinggi.
Terdahulu, satu video berdurasi 29 saat menunjukkan suspek memukul seorang lelaki di restoran berkenaan, tular di media sosial.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!