Bekas ketua penolong setiausaha kanan kementerian dituduh rasuah
SHAH ALAM - Seorang bekas ketua penolong setiausaha kanan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Khamis atas dua pertuduhan menerima suapan RM100,000 bagi tender pembekalan dan penghantaran baja pada 2019.
Tertuduh, Shahrulzaman Jaafar, 43, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rihaida Rafie.
Tertuduh didakwa menerima suapan keseluruhan RM100,000 daripada seorang lelaki berusia 46 tahun.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut sebagai upah membantu mendapatkan tender membekal dan menghantar baja bio dengan mikrob tempatan bermanfaat di bawah Skim Insentif Pengeluaran kepada syarikat KIIK Resources Sdn Bhd yang keseluruhannya berjumlah RM37.47 juta.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di tepi jalan berhampiran Hospital Serdang dan berhadapan sebuah pasar raya di Taman D’Alpinia, Puchong di antara jam 11 pagi hingga 2 petang pada 12 Mei dan 21 September tahun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zander Lim Wai Keong kemudiannya menawarkan jaminan RM10,000 bersama seorang penjamin.
Tertuduh yang diwakili peguam tidak membantah permohonan pihak pendakwaan.
Kes disebut semula pada 27 Januari ini.
Terdahulu, pada 12 Januari lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung pemberian tender pembekalan dan penghantaran baja bio kepada beberapa syarikat, tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!