Hotel tiga bintang jadi lokasi pilihan pelacur beroperasi
SUBANG JAYA - Promosi khidmat pelacuran melalui media sosial sebelum pelanggan datang ke hotel untuk pilih pelacur melalui katalog.
Itu modus operandi bapa ayam yang menjadikan sebuah hotel tiga bintang di Jalan PJS 11/28, di sini sebagai tempat operasi sejak lapan bulan yang lalu.
Siasatan mendapati pelanggan perlu membayar RM220 hingga RM650 sekali langgan bergantung kepada kecantikan pelacur yang dipilih dengan bermalam di hotel berkenaan.
Perkara itu terbongkar dalam serbuan sepasukan anggota dan pegawai daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya malam Rabu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Khalid Othman berkata, dalam serbuan yang turut melibatkan sebuah premis rumah kedai di Jalan USJ 21/11, seramai 20 pelacur warga Thailand dan Indonesia berusia 24 hingga 31 tahun ditahan.
"Dua penjaga pelacur warga tempatan berusia 30 tahun bersama tiga lelaki warga Sweden yang merupakan pelanggan turut ditahan bagi membantu siasatan," katanya kepada pemberita selepas operasi dijalankan.
Katanya, hotel bajet berkenaan kali pertama diserbu hasil maklumat awam manakala sebuah lagi rumah kedai yang dijadikan asrama pelacur sudah tiga kali diserbu polis sebelum ini.
Polis turut merampas puluhan kondom, peralatan pelacuran dan wang tunai keseluruhan berjumlah RM1,457.
Kes disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana terbabit pelacuran, Seksyen 22(b) Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 61C, 55B dan 39(b) Akta Imigresen 1963.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!