KPLB fokus tingkat akses berkelajuan tinggi

Rina Harun
Rina Harun
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan memfokuskan pembangunan prasarana akses internet berkelajuan tinggi di luar bandar bagi menarik golongan belia menceburi bidang perniagaan dalam talian.

Menterinya Datuk Seri Rina Harun berkata pelan tersebut akan dilaksanakan menerusi Program Desa Digital yang akan dilancarkan pertengahan tahun ini.

“Kita nak sasarkan kampung yang ada pencapaian internet yang bukan sahaja laju tetapi luas, kita tak mahu capaian internet yang terhad dan hanya boleh didapati di beberapa bangunan.

“Bagaimana kita nak menggalakkan belia-belia di luar bandar untuk berniaga secara dalam talian kalau nak muat naik satu gambar produk pun ambil masa setengah hari,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Rina berkata program itu secara tidak langsung akan mencipta peluang pekerjaan kepada penduduk luar bandar sekali gus membolehkan belia membina kerjaya dan berbakti di kampung halaman sendiri tanpa perlu berhijrah ke bandar.

Terdahulu, Rina yang juga Anggota Parlimen Titiwangsa melakukan tinjauan mesra bersama penjaja dan peniaga Pasar Besar Jalan Wirawati di sini selama lebih tiga jam bagi mendengar permasalahan golongan itu.

Antara isu dan cadangan yang dibangkitkan adalah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), penyelenggaraan bangunan serta penawaran kursus keusahawanan dalam membantu peniaga meningkatkan kemahiran dan pendapatan.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!