Pemilik kedai tayar mengaku salah guna kad kredit orang lain

Tertuduh tiba diperkarangan Mahkamah Majistret Jelebu diiringi pegawai polis.
Tertuduh tiba diperkarangan Mahkamah Majistret Jelebu diiringi pegawai polis.
A
A
A

JELEBU - Seorang pemilik kedai tayar mengaku bersalah di atas dua pertuduhan menggunakan kad kredit milik individu lain tanpa kebenaran di Mahkamah Majistret Jelebu pada Khamis.

Tertuduh, Leong Miow Hiong, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Masjistret, Muhammad Hidayat Wahab.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh pada 31 Disember lalu, kira-kira jam 9.08 malam bertempat di 99 Speedmart Titi, Jelebu secara tidak jujur menggunakan kad kredit HSBC dimilik Loh Sin Kan, 70 berjumlah RM255.60.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh pada 31 Disember lalu, kira-kira jam 9.33 malam bertempat di Mr D.I.Y Kuala Klawang, Jelebu secara tidak jujur menggunakan kad kredit HSBC milik orang sama berjumlah RM152.85.

Tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Muhammad Hidayat kemudiannya menjatuhkan hukuman 15 bulan penjara, denda RM3,000 dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan.

Tertuduh juga boleh dipenjara selama empat bulan jika gagal membayar denda.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, berdasarkan fakta kes, anak perempuan kepada Loh Sin Kan pada 31 Disember lalu kira-kira jam 9 malam semasa berada di rumahnya di Shah Alam mendapat tahu daripada adiknya menerima mesej daripada pihak bank HSBC terdapat penggunaan kad kredit milik ayahnya.

Pengadu kemudiannya mengesan penggunaan kad kredit itu sebelum dimaklumkan kad tersebut telah digunakan.

Seterusnya pada 2 Januari lalu, pada jam kira-kira 2.30 petang, abang saudara pengadu pergi ke sebuah kedai di Kuala Klawang untuk melihat rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) melihat seorang lelaki menggunakan kad kredit itu.

Pada waktu kad berkenaan digunakan, ayah pengadu tiada di rumah dan pengadu mengesyaki kad itu telah hilang sejak 31 Disember sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Damansara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!