Pemuda UMNO pandang serius isu rasuah

Noor Hariri Mohamed Noor
Noor Hariri Mohamed Noor
A
A
A

KOTA BHARU - Pemuda UMNO Kelantan memandang serius isu rasuah dan memfokuskan kepada punca sebenar mendorong berlakunya perbuatan itu.

Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, kajian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati 21.1 peratus responden sanggup menerima rasuah jika ada kuasa dan pangkat.

“Berdasarkan pemerhatian kami, punca utama ialah kelemahan peribadi dan didikan agama selain nafsu ingin bermewah lebih daripada kemampuan.

“Sifat ini akan menyebabkan seseorang sanggup menerima apa sahaja habuan asalkan keinginan peribadi dapat dicapai,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Noor Hariri berkata, rasuah bukan sahaja menghancurkan negara secara total apabila pelabur tidak lagi yakin Malaysia sebagai hub utama pelaburan di Asia.

Bahkan katanya. ia akan mengakibatkan kejatuhan ekonomi negara tanpa sedar di samping tidak yakin lagi dengan sistem keselamatan utama negara.

Sehubungan itu, Pemuda UMNO Kelantan senada dengan pandangan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menyeru semua rakyat di negara ini menjadi mata dan telinga untuk membanteras rasuah yang menjadi pengkhianat besar kepada sistem pentadbiran negara.

Asyraf dalam kenyataan pada Selasa juga menyeru ahli UMNO menanam tekad dan keazaman menentang rasuah.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pemuda UMNO Melaka menyokong usaha Sinar Harian memerangi rasuah yang masih 'berakar' dan membelenggu negara ketika ini.

Ketuanya, Fairul Nizam Roslan berkata, mereka menyambut baik Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menyokong gerakan jihad untuk memulihkan moral bangsa.

"Usaha membanteras rasuah perlu dilakukan bersama bagi memastikan budaya 'bobrok' ini tidak terus merebak dan menjadi barah dalam negara," katanya.

Menurut Fairul Nizam, pihaknya sedih apabila kajian yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pelajar universiti menunjukkan lebih 30 peratus golongan itu sanggup menerima rasuah jika keadaan mendesak.

"Ini menunjukkan pemahaman terhadap kesan rasuah tidak tersemat dalam nilai peribadi seseorang.

"Kami percaya rakyat Malaysia tidak menyukai perbuatan ini namun ia tidak bermakna seseorang itu akan membuat laporan sekiranya perkara ini berlaku di depan mereka," katanya.

Sementara itu, Pemuda UMNO Perlis turut menyokong 100 peratus kenyataan Asyraf Wajdi untuk berjihad dalam usaha memerangi rasuah dalam negara.

Ketuanya, Harmizan Abd Halim berkata, pihaknya percaya jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus konsisten memerangi rasuah, masyarakat dan rakyat akan terus menyokong.

Dalam masa sama katanya, Pemuda UMNO Perlis juga menyeru kepada semua ahli Pemuda UMNO agar sentiasa cakna dalam usaha memerangi kegiatan rasuah yang amat membimbangkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!