Polis Johor nafi wanita dikompaun di kawasan tidak sesak
JOHOR BAHRU - Polis Johor menafikan dakwaan tular di media sosial berhubung seorang wanita yang juga pengusaha kafe dikenakan kompaun kerana tidak memakai pelitup muka ketika berada di kawasan tidak sesak.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan dilakukan polis mendapati kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 11 pagi di sebuah kafe di Jalan Pusat Komersil Yayasan 3, Segamat pada Rabu.
"Siasatan dilakukan mendapati semasa kejadian, ramai pengunjung yang mengunjungi kedai dan premis yang berhampiran kawasan tersebut.
"Ketika itu, bersama individu berusia 29 tahun itu ialah seorang wanita yang bekerja di kafe tersebut tetapi memakai pelitup muka. Kenyataan individu ini menyatakan di kawasan tersebut tiada orang dan tiada kesesakan adalah tidak benar sama sekali.
"Tindakan individu ini yang tidak memakai pelitup muka boleh menimbulkan kegusaran kepada orang awam lain yang berada di sekitar kawasan tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Menurut Ayob Khan, wanita berkenaan telah dikenakan tindakan kompaun oleh pasukan tindakan khas pematuhan (SOP) Covid-19 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di bawah peraturan 16(1) peraturan-peraturan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit (langkah-langkah di dalam kawalan tempatan jangkitan) 2021.
Terdahulu, pada Rabu tular satu ciapan di Twitter mengenai ketidakpuasan hati seorang individu yang dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP).
Ayob Khan menegaskan, polis Johor memandang serius terhadap perkara ini dan tidak akan berkompromi serta akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak ataupun individu yang secara sengaja tidak mematuhi SOP dan peraturan yang telah ditetapkan untuk mengekang ancaman pandemik covid-19.
"Kesejahteraan rakyat Johor secara umum menjadi keutamaan polis Johor dalam melaksanakan tugas khususnya bagi usaha memutuskan rantaian wabak covid-19.
"Polis Johor akan terus menggiatkan lagi usaha pematuhan SOP dan peraturan-peraturan kawalan penyakit berjangkit yang telah ditetapkan oleh kerajaan bagi menjamin kemakmuran masyarakat dan orang awam dalam negeri ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!