Musang pandan 'sesat' dalam bilik mesyuarat
SEREMBAN - Seorang pekerja pembersihan Jabatan Kesenian Kebudayaan Negeri Sembilan di sini cemas apabila seekor musang pandan didapati tersesat di dalam bilik mesyuarat jabatan itu pada Khamis.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Mohd Syazwan Saidy berkata, bomba menerima maklumat jam 8 pagi dan seramai enam anggota ditugaskan ke lokasi.
“Bomba difahamkan kehadiran haiwan itu disedari pekerja pembersihan yang ketika itu masuk ke bilik mesyuarat untuk melakukan tugasnya.
“Namun dia terkejut apabila melihat haiwan berkenaan yang kelihatan cuba mencari jalan keluar. Pekerja itu kemudian bertindak menutup pintu bilik mesyuarat dan menghubungi bomba,” katanya.
Menurutnya, bomba berjaya menangkap haiwan berkenaan yang menyorok di bawah meja dengan menggunakan peralatan khas penyelamatan.
Beliau berkata, pihaknya kemudian menyerahkan haiwan itu kepada Jabatan Perhilitan untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!