Tok Pa dibenarkan keluar hospital
KOTA BHARU - Setelah 12 hari dirawat akibat positif Covid-19, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed sudah sembuh dan dibenarkan keluar hospital pada Khamis.
Mustapa menerusi Facebooknya memaklumkan yang beliau sudah dibenarkan pulang jam 4.30 petang tadi.
“Alhamdulillah syukur kepada ALLAH SWT setelah 12 hari bertarung di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II dengan pemantauan rapi oleh doktor, jururawat dan barisan hadapan, pada jam 4.30 petang saya dibenarkan keluar hospital.
“Dalam tempoh 12 hari di hospital, sudah pasti yang paling mencemaskan ialah semasa tiga hari di ICU, apabila terdapat sedikit masalah pernafasan dan kekurangan tenaga.
“Namun dengan pemantauan rapi doktor dan jururawat, serta keyakinan penuh kepada ketentuan ALLAH SWT, Alhamdulillah saya beransur pulih,” katanya.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Jeli yang sememangnya dikenali sebagai individu yang kuat bekerja itu perlu lebih banyak berehat dan kurangkan bekerja selain tidak boleh bertemu ramai orang.
“Terima kasih tidak terhingga kepada semua staf Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khususnya di HRPZ II, ahli keluarga, sahabat handai dari seluruh pelosok tanah air yang memberikan kata-kata semangat, ucapan dan doa.
“Semoga ALLAH SWT menyelamatkan negara kami, pemimpin-pemimpin kami dan semua rakyat daripada Covid-19,” katanya.
Sebagai pengajaran dan renungan bersama Mustapa berkata, pandemik Covid-19 ini adalah ketentuan ALLAH SWT supaya manusia insaf dan sedar betapa kerdilnya insan ciptaan-Nya semua.
“Sepanjang pandemik Covid-19, kita perlu menjaga maslahah umum mengatasi kepentingan peribadi. Ancaman ini serius, perlu diambil berat oleh rakyat.
“Ketakutan kepada Covid-19 biar sebati dengan diri kerana kita masih belum memenangi peperangan ini,” katanya.
Katanya, bersama-samalah berdiri teguh di belakang kerajaan, KKM dan pihak penguat kuasa bagi mempertahankan nyawa serta kehidupan dalam menangani krisis Covid-19.
Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT setelah 12 hari bertarung di HRPZ II dengan pemantauan rapi oleh doktor, jururawat...
Posted by Mustapa Mohamed on Thursday, January 21, 2021
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!