Peguam rugi lebih RM18,000 terperdaya pelaburan emas
MELAKA - Seorang peguam menjadi mangsa penipuan pelaburan emas hingga mengakibatkannya mengalami kerugian sebanyak RM18,243.
Mangsa berusia 27 tahun itu dipercayai terperdaya setelah berkenalan dengan seorang wanita warganegara China melalui aplikasi dating Tantan sebelum individu itu menawarkan mangsa menyertai pelaburan emas di sebuah laman web.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka, Superintendan E Sundra Rajan berkata, mangsa yang tertarik dengan janji mendapat keuntungan yang berganda setiap bulan telah membuat enam kali transaksi di lima akaun berbeza secara berperingkat dengan jumlah keseluruhan RM18,243.
"Namun sehingga kini mangsa memaklumkan tidak menerima sebarang keuntungan malah wang modal juga tidak dikembalikan.
"Mangsa yang berasa ditipu kemudian membuat laporan polis pada Rabu dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Jelas beliau, pihaknya menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati untuk menyertai sebarang bentuk pelaburan yang meragukan.
Bagi menggelakkan penipuan seperti ini berulang, orang ramai dinasihatkan membuat semakan ke atas nombor telefon dan nombor akaun yang meragukan di http://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau dengan memuat turun aplikasi 'check scammers CCID di Google Playstore," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!