Redah laut hantar bekalan dadah ke Pulau Tioman
KUANTAN - Seorang lelaki nekad meredah laut bergelora pada waktu malam dengan menaiki bot gentian kaca berenjin 30 kuasa kuda disyaki untuk menghantar bekalan dadah ke Pulau Tioman pada Rabu.
Tindakan itu gagal apabila bot yang dinaiki membawa empat kilogram dadah jenis syabu ditahan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang dalam satu operasi khas kira-kira jam 11.30 malam di sekitar perairan Teluk Gading Endau, Rompin.
Bagaimanapun lelaki berkenaan melarikan diri ke daratan berhampiran.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, hasil pemeriksaan ke atas bot menemui tong polisterin mengandungi dua bungkus plastik lutsinar dan dua bungkus plastik teh cina berisi syabu yang dianggarkan bernilai RM160,000.
Menurutnya, suspek cuba mengaburi pihak berkuasa dengan meletakkan pukat dalam kotak itu bagi menyorok bungkusan dadah.
Katanya, kejayaan rampasan dadah itu hasil koordinasi dan perkongsian maklumat risikan bersama Maritim Malaysia Johor sejak sebulan lalu.
“Hasil maklumat diterima, kita menggerakkan operasi ini dan berjaya mengesan sebuah bot tanpa nombor pendaftaran sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan menuju ke Pulau Tioman di kedudukan kira-kira 1.0 batu nautika dari muara Sungai Endau malam pada Rabu.
“Sebaik menyedari kehadiran aset maritim, suspek bertindak memadam lampu bot untuk mengelak dikesan sebelum lelaki itu berjaya melarikan diri dengan meninggalkan bot berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Pahang, Indera Mahkota di sini pada Khamis.
Amran berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk dadah, bot dan enjin dianggarkan bernilai RM182,000.
“Bot dan semua barang rampasan dibawa ke Jeti Pos Maritim Tanjung Gemok untuk siasatan lanjut di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Hasil siasatan awal, kita percaya dadah tersebut untuk diedarkan ke pasaran tempatan di sekitar Pulau Tioman dan sindiket ini dipercayai bergiat aktif melakukan aktiviti pengedaran dadah menggunakan jalan laut,” katanya.
Tambah beliau, suspek kemungkinan menggunakan bot lain yang lebih besar sebelum ini dan pada hari kejadian mungkin ada halangan sehingga terpaksa menggunakan bot sepanjang lima meter.
“Kita percaya bekalan dadah itu mampu dibekalkan kepada 2,500 penagih sekitar daerah tersebut.
“Kes ini merupakan tangkapan pertama melibatkan rampasan dadah bawah Akta Dadah Berbahaya bagi Maritim Negeri Pahang tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, Maritim Malaysia Negeri Pahang akan terus mempergiatkan lagi tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan di laut bagi memastikan sebarang kesalahan dan perlanggaran undang-undang di perairan negeri ini dapat dibanteras.
Menurutnya, sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!