Gajah masuk kampung bukan ancaman: Perhilitan
JOHOR BAHRU - Sekumpulan gajah yang kerap berkeliaran di beberapa kampung di Kluang sejak kebelakangan ini bukan satu ancaman.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, mamalia yang biasanya keluar dalam jumlah 30 hingga 50 hanya mencari makanan di kawasan berdekatan.
Menurutnya, menerusi tinjauan dron pihak Perhilitan pada petang Rabu mendapati pergerakan kumpulan gajah agak perlahan kerana bilangan anaknya yang banyak biasanya di kawasan ladang kelapa sawit.
“Kumpulan gajah ini makan pucuk pokok kelapa sawit atau sebarang tumbuhan yang boleh dimakan. Selain itu faktor paras air Sungai Kahang yang meningkat kerana banjir baru-baru ini menyukarkan haiwan itu menyeberang dan bergerak ke lokasi lain.
“Jadi orang ramai tidak perlu panik kerana gajah terbabit tidak mengganggu atau merosakkan rumah dan harta benda. Biasanya gajah ini lalu sahaja di kawasan kampung,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Sebelum ini tular sekumpulan gajah muncul di beberapa kampung termasuk di Kampung Contoh, Kampung Batu 28, Kampung Sri Lukut dan Kampung Pinggir.
Terbaru seekor gajah dilihat berjalan di hadapan sebuah rumah di Kampung Batu 28 pada malam Isnin sekali gus menggemparkan penduduk.
Salman menasihatkan penduduk untuk mengelak bergerak pada waktu malam atau mengambil tindakan sendiri termasuk cuba melakukan provokasi jika bertembung dengan haiwan itu.
“Gajah ini tidak berbahaya jika tidak diancam. Lapor kepada pihak Perhilitan jika terjumpa. Kumpulan gajah ini tidak sesat, memang kawasan itu antara kawasan ia berkeliaran di Taman Negara Endau Rompin cuma kali ini agak lama berada di kawasan itu,” katanya.
Biasanya kata Salman, kumpulan gajah tersebut akan berjalan antara 25 hingga 100 kilometer untuk mencari makan dan bergantung kepada jumlahnya, semakin banyak semakin luas pergerakannya.
Katanya, pihak Perhilitan akan terus membuat pemantauan bagi mengurangkan risiko kerosakan tanaman penduduk kampung dan setakat ini pihaknya tidak menerima laporan rasmi berhubung video tular itu.
Tambahnya, kumpulan gajah kebiasaannya akan berada di satu-satu kawasan dalam tempoh tiga hingga empat hari sebelum bergerak ke lokasi yang lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!