35 SJR di Perak bermula tengah malam ini
IPOH - Polis Perak akan mendirikan 35 sekatan jalan raya di semua kawasan sempadan negeri dan daerah bermula tengah malam ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sekatan itu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan di negeri ini serta Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Kampung Orang Asli Batu 6, Jalan Pahang di daerah Batang Padang.
Menurutnya, bagi tujuan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pula, sebanyak 386 pasukan akan digerakkan.
"Kedua-dua penugasan ini akan melibatkan 1,822 pegawai polis setiap hari.
"Bagi memastikan penugasan dapat dilaksanakan dengan lancar, cuti pembekuan dan pergerakan dikenakan ke atas semua pegawai polis kecuali cuti kecemasan seperti arahan dikeluarkan Ketua Polis Negara," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Khamis.
Beliau berkata, polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya berlaku sebarang pelanggaran SOP.
Justeru katanya, semua pihak dinasihatkan mematuhi SOP dan peraturan yang telah ditetapkan.
"Kerjasama dan kawalan kendiri daripada orang ramai amat diperlukan dalam memerangi pandemik Covid-19," katanya.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan PKP bermula pada Jumaat sehingga 4 Februari sementara PKPD di Kampung Orang Asli Batu 6 bermula Khamis sehingga 3 Februari depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!