Tular kes culik: 'Anak saya nampak'
HULU BESUT - Seorang pembantu kedai terkejut apabila mendapati seorang kanak-kanak lelaki tiba-tiba ‘ghaib’ selepas dihampiri sebuah kereta Proton Wira di tepi jalan Jertih-Pasir Akar dekat Kampung Alor Keladi, di sini pagi tadi.
Wanita yang hanya mahu dikenali Da berusia 31 tahun berkata, ketika itu dia sedang memandu kereta bersama anaknya yang berusia 7 tahun dan dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Padang Bual ke tempat kerjanya di Jertih.
Katanya, anaknya melihat seorang budak lelaki berusia lingkungan 11 hingga 12 tahun ditarik masuk ke dalam kereta tersebut sekitar jam 10 pagi.
“Saya tak pastilah budak itu kena culik atau sebaliknya tetapi saya mengesyaki ada sesuatu perkara tidak baik berlaku ditambah pula sebelum itu kereta tersebut dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui di Bandar Jertih petang ini selepas tular di media sosial mengenai dakwaan seorang kanak-kanak dilarikan dengan kereta Proton Wira ke arah Jertih
Sementara sumber daripada pihak polis memberitahu setakat jam 4 petang ini tidak ada mana-mana pihak tampil membuat laporan tentang kehilangan kanak-kanak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!