Positif Covid-19: Tok Pa kongsi pengalaman 'bertarung' 12 hari

Tangkap layar Facebook Mustapa
Tangkap layar Facebook Mustapa
A
A
A

SHAH ALAM - Selepas 'bertarung' selama 12 hari akibat Covid-19, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed akhirnya dibenarkan keluar dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pada Khamis.

Mustapa atau Tok Pa turut mendedahkan dirinya melalui tempoh mencemaskan apabila mengalami masalah pernafasan dan kekurangan tenaga ketika dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama tiga hari dalam tempoh tersebut.

"Alhamdulillah syukur kepada ALLAH SWT, setelah 12 hari bertarung di HRPZ II dengan pemantauan rapi oleh doktor, jururawat dan barisan hadapan, pada jam 4.30 petang ini (Khamis) saya dibenarkan keluar hospital.

"Dalam tempoh 12 hari di hospital, sudah pasti yang paling mencemaskan ialah semasa tiga hari di ICU, apabila ada sedikit masalah pernafasan dan kekurangan tenaga.

"Namun dengan pemantauan rapi doktor dan jururawat, serta keyakinan penuh kepada ketentuan ALLAH SWT, Alhamdulillah saya beransur pulih. Sekarang saya perlu lebih banyak berehat, kurangkan kerja dan tidak boleh bertemu ramai orang," katanya di laman Facebooknya pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Tok Pa disahkan positif Covid-19

Tok Pa dibenarkan keluar hospital

Dalam pada itu, Mustapa yang juga merupakan Ahli Parlimen Jeli berkata, pandemik Covid-19 adalah ketentuan Tuhan supaya manusia insaf dan sedar betapa kerdilnya kita semua.

Artikel Berkaitan:

"Ancaman ini serius, perlu diambil berat oleh rakyat. Ketakutan kepada Covid-19 biar sebati dengan diri kita kerana kita masih belum memenangi peperangan ini," katanya.

Dalam masa sama, beliau turut meminta rakyat Malaysia agar berdiri teguh di belakang kerajaan, Kementerian Kesihatan dan pihak penguatkuasa bagi mempertahankan nyawa serta kehidupan.

"Selain itu, pelitup muka, pembersih tangan, penjarakan sosial dan pemakaian face shield perlu menjadi amalan kita semua sepanjang masa sehingga pandemik ini benar-benar pulih," katanya.

Pada 10 Januari lalu, pejabat Mustapa menerusi satu kenyataan mengesahkan pemimpin itu positif Covid-19.

Beliau sebelum itu dilaporkan menghadiri mesyuarat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang turut dihadiri Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa menteri Kabinet yang lain.

Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT setelah 12 hari bertarung di HRPZ II dengan pemantauan rapi oleh doktor, jururawat...

Posted by Mustapa Mohamed on Thursday, January 21, 2021

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!