Kali pertama 'berjalan jauh' bersama

Kereta dipandu Mohd Kharulinzam remuk setelah merempuh pokok di tepi jalan dan gambar terakhir dikongsi bersama keluarga sebelum kemalangan.
Kereta dipandu Mohd Kharulinzam remuk setelah merempuh pokok di tepi jalan dan gambar terakhir dikongsi bersama keluarga sebelum kemalangan.
A
A
A

KUALA NERUS - [DIKEMASKINI] Ini kali pertama mereka sekeluarga menikmati percutian bersama jauh melepasi sempadan Terengganu selepas membeli kereta baharu jenis Proton Wira kira kira tiga bulan lalu.

Namun kegembiraan pasangan suami isteri, Mohd Kharulinzam Jusoh, 38, dan Nur Syaazlien Syarizam Salleh, 21, bertukar tragedi apabila maut dalam kemalangan di Pengkalan Atap di sini, awal pagi tadi.

Turut menjadi korban anak mereka berusia 9 bulan, Nur Khaira Aisyah selain ibu dan adik kepada Nur Syaazlien Syarizam, Rozilawati Mustafa @ Razali, 43, dan Muhammad Nashrullah, 5.

Menurut adik perempuan Mohd Kharulinzam, Nurul Fatihah Jusoh, 34, dia tidak menyangka hasrat abangnya bercuti bersama keluarga sambil menghadiri majlis kenduri di Kuala Krai, Kelantan berakhir tragedi.

"Abang ada jumpa mak dan bagitahu nak bawa keluarganya makan angin ke Cameron Highlands, tapi mak larang sebab jauh sangat.

"Tak dapat ke Cameron Highlands, abang bawa keluarga mereka ke majlis kenduri di Kuala Krai, Kelantan," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, Mohd Kharulinzam baru sahaja membeli kereta.

"Inilah kali pertama mereka berjalan jauh. Mereka ke Kuala Krai secara konvoi tapi masa pulang masing -masing ikut haluan sendiri.

"Abang sempat bawa keluarganya ke Kota Bharu dan singgah beli barang barang anaknya di sebuah pusat beli-belah di sana sebelum kemalangan itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nurul Fatihah tidak dapat menahan rasa sebak setiap kali bercerita mengenai abang dan kakak iparnya dan terpaksa berhenti beberapa kali bercakap disebabkan terlalu sedih dengan kejadian menimpa.

Katanya, kali terakhir mereka berjumpa ialah pada majlis tahlil kematian bapa saudara mereka di Paloh Tuan Sulong minggu lalu.

Mereka sekeluarga sentiasa berhubung dalam aplikasi WhatsApp.

“Mereka cukup seronok dapat bercuti bersama dan sempat berkongsi gambar mereka sekeluarga ketika berada di Kota Bharu sebelum bertolak pulang ke Terengganu," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Lima sekeluarga termasuk bayi sembilan bulan maut

Kesemua jenazah dibawa ke Durian Mas, Manir untuk urusan pengebumian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!