AS fail pertuduhan terhadap Hambali, pengebom Bali tahun 2002
WASHINGTON - Pendakwa raya tentera Amerika Syarikat (AS) memfailkan pertuduhan rasmi terhadap ekstremis Islam Indonesia dan dua lagi individu yang terbabit dalam pengeboman Bali pada 2002 serta serangan di Jakarta pada 2003.
Menerusi laporan AFP, berdasarkan kenyataan dari Pentagon, pertuduhan itu dikemukakan hampir 18 tahun selepas ketiga-tiga tertuduh ditangkap di Thailand dan masing-masing dikurung di dalam penjara tentera AS di Teluk Guantanamo, Cuba, selama lebih 14 tahun.
Pertuduhan pertama membabitkan ketua kumpulan militan Indonesia, Jemaah Islamiyah (JI), Riduan Isamuddin yang juga dikenali sebagai Hambali, dipercayai turut menjadi wakil kanan tertinggi Al-Qaeda di rantau itu.
Kumpulan itu yang mendapat sokongan daripada Al-Qaeda, melakukan pengeboman kelab malam di Bali pada 12 Oktober 2002, yang membunuh 202 individu, serta serangan 5 Ogos 2003 di hotel JW Marriott di Jakarta hingga meragut 12 nyawa dan puluhan lagi cedera.
Dua pertuduhan lagi membabitkan rakyat Malaysia, Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin, yang menjadi orang kanan Hambali dalam JI dan dilatih Al-Qaeda, menurut dokumen kes Guantanamo.
"Pertuduhan itu membabitkan konspirasi, pembunuhan, cubaan membunuh, dengan sengaja mendatangkan kecederaan, keganasan, menyerang orang awam, menyerang dan memusnahkan harta, serta melanggar undang-undang perang," menurut Pentagon.
Bagaimanapun, tidak jelas mengapa pertuduhan itu dibuat selepas beberapa tahun pertuduhan di hadapan tribunal tentera di Guantanamo, yang diumumkan pada Khamis.
Pada 2016, usaha Hambali untuk dibebaskan dari Guantanamo ditolak kerana menurut pendakwa raya, militan itu masih 'menjadi ancaman kepada keselamatan AS'.
Pertuduhan itu diumumkan pada hari pertama pentadbiran penuh Presiden baharu AS, Joe Biden.
Ketika Biden menjadi Naib Presiden kepada Barack Obama, mereka berusaha untuk menutup penjara di Guantanamo milik tentera dan membebaskan atau mendakwa baki banduan di mahkamah awam AS, namun usaha itu gagal.
Donald Trump yang menggantikan Obama pula tidak berminat pada Guantanamo serta banduannya, yang turut membabitkan pemimpin kanan Al-Qaeda dan perancang serangan 11 September, Khalid Sheikh Mohammed.
Semasa pemerintahan beliau, tiada perkembangan lanjut mengenai status 40 banduan lain yang masih ditahan di Guantanamo.
Penjara itu pernah menahan sehingga 780 'banduan keganasan', namun kebanyakannya sudah dibebaskan dan dihantar kembali ke negara asal masing-masing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!