PdPR: KPM disaran wujudkan pasukan kerja pakar bidang pendidikan
SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) boleh mewujudkan sebuah pasukan kerja dalam kalangan tenaga pakar dalam bidang pendidikan bagi memastikan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang lebih efisyen.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Profesor Dr Omar Yaakob berkata, cadangan penubuhannya adalah bagi menggembeleng tenaga pakar teknologi pendidikan, guru-guru pakar mata pelajaran, tenaga kerja Institut Pendidikan Guru (IPG) dan warga akademia bagi membina prasarana serta bahan yang sesuai untuk sebaran melalui televisyen dan radio.
Katanya, KPM dilihat perlu memperkasakan TV Pendidikan dengan menambah kandungan, memperbanyakkan masa jadual siaran dan akses kepada semua saluran termasuk unifi TV serta platform penstriman, Netflix.
"Penggunaan rangkaian radio yang lebih luas jangkauannya juga boleh dimanfaatkan.
"Usaha ini perlu diberi keutamaan khas dan pendidikan secara inovatif perlu diusahakan demi generasi tersisih," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
Sementara itu, Omar berkata, pihaknya memandang serius mengenai generasi yang tersisih daripada pendidikan akibat Covid-19.
"Kebanyakan mereka terdiri dalam kalangan murid yang tiada atau mempunyai capaian yang sangat terhad kepada peralatan dan saluran internet untuk proses PdPR.
"Halangan terbesar proses PdPR bagi mereka yang mempunyai kekangan dan tidak berkemampuan adalah capaian internet yang kuat dan kemudahan gajet," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!