Tutup Jeti Semeling, sekat pergerakan ke zon merah

Adzli (kanan) ketika meninjau pelaksanaan sekatan jalan raya pada hari pertama PKP di Kuala Muda, Kedah.
Adzli (kanan) ketika meninjau pelaksanaan sekatan jalan raya pada hari pertama PKP di Kuala Muda, Kedah.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Penutupan sepenuhnya Jeti Semeling yang menghubungkan Sungai Layar Hujung dengan Pekan Semeling bagi penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Kuala Muda, Kedah bertujuan mengehadkan pergerakan ke kawasan zon merah.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, setakat ini, Mukim Sungai Petani telah dikategorikan sebagai zon merah, manakala mukim berdekatan iaitu Merbok masih dikategorikan zon hijau dan Mukim Semeling dikategorikan sebagai zon kuning.

"Kita mengambil keputusan menutup laluan Titi Semeling disebabkan tak mahu ada pergerakan masuk atau keluar ke zon merah sesuka hati atau tanpa justifikasi selain mengambil kira pengalaman PKP tahun lalu di mana orang ramai menggunakan laluan tersebut bagi tujuan bukan keperluan.

"Ada yang memberikan alasan bergerak dari Sungai Petani ke Merbok semata-mata hendak beli ikan segar, hasil laut dan lain-lain semasa PKP lalu.

"Sepatutnya tak boleh sewenang-wenangnya merentasi mukim sedangkan angka positif Covid-19 di Mukim Sungai Petani sudah berada di tahap zon merah berbanding Merbok dan Semeling," katanya ketika ditemui semasa meninjau hari pertama pelaksanaan PKP di Jalan Bedong-Sungai Petani tengah malam Jumaat.

Bagaimanapun katanya, pengguna dari Sungai Petani atau Merbok boleh menggunakan laluan alternatif melalui Pekan Bedong sekiranya ada keperluan untuk pergerakan.

Tindakan polis menutup laluan Jeti Semeling pada Khamis telah hangat dibincangkan di media sosial kerana didakwa menyusahkan rakyat.

Sementara itu, katanya, PKP kali ini turut membabitkan tujuh laluan dikenakan sekatan jalan raya (SJR) antaranya di Bedong, Bandar Puteri Jaya, Tikam Batu, Jambatan Merdeka, Plaza Tol Sungai Petani Utara, Plaza Tol Sungai Petani Selatan dan Plaza Tol Gurun bermula 22 Januari hingga tamat PKP.

Artikel Berkaitan:

Ditanya sama ada SJR boleh diubah atau ditambah, jelasnya, ia bergantung kepada kajian dan keperluan dari masa ke masa.

Beliau berkata, tugasan SJR membabitkan kekuatan 190 anggota termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Rela dan agensi terbaharu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Beliau menjelaskan, seramai 300 anggota membabitkan semua agensi dikerahkan bertugas sepanjang PKP di daerah Kuala Muda iaitu merangkumi penugasan aspek kebajikan, siasatan, pematuhan, SJR dan bilik gerakan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!