Contohi Trump tidak isytihar darurat, hormati Perlembagaan AS

Hassan Karim
Hassan Karim
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang Perdana Menteri tidak boleh sewenang-wenangnya menyalahgunakan kuasanya untuk mengisytiharkan darurat dan menggantung Parlimen untuk kepentingan dirinya.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, mana-mana Perdana Menteri atau Presiden di sesebuah negara tidak patut menggunakan kedudukannya untuk memanipulasikan keadaan terutama menggunakan alasan Covid-19.

Bekas Pengerusi PKR Johor itu memberi contoh, bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump walaupun tersepit dan terpaksa melepaskan jawatannya, namun beliau tidak pernah menyalahgunakan kuasa untuk menyelamatkan dirinya.

"Seburuk-buruk Trump yang suka main Twitter sehingga akhirnya akaunnya diharamkan, namun Trump tidak mengganggu Parlimen AS bersidang.

"Dia tidak campur tangan hal ehwal operasi Parlimen di negaranya itu walaupun dia tahu Dewan Rakyatnya (Dewan Perwakilan) akan memecatnya. Trump tidak buat seperti sesetengah negara 'republik pisang' di Afrika yang akan menggantung Parlimen apabila satu demi satu ahli Parlimen blok kerajaan menarik diri daripada menyokongnya.

"Ada beberapa orang ahli Kabinet Trump yang letak jawatan tanda tidak percaya kepada Trump tetapi Trump tidak panik untuk menekan butang Darurat. Presiden AS ke-45 itu tidak cuba lari daripada usul tidak percaya di Parlimen seperti di sesetengah negara 'republik pisang' di Afrika," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Buktikan darurat demi rakyat, bukan ‘talian hayat’

Pada 12 Januari lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan darurat bagi seluruh negara berkuat kuasa mulai 11 Januari hingga 1 Ogos ini atas alasan ancaman pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Pengisytiharan darurat itu mendapat tentangan daripada beberapa ahli Parlimen kerana turut melibatkan penggantungan Parlimen dan tidak diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) sepanjang tempoh tersebut.

Trump dibawa menaiki helikopter Marine One buat kali terakhir selepas beliau meninggalkan Rumah Putih pada Rabu. - Foto: AFP
Trump dibawa menaiki helikopter Marine One buat kali terakhir selepas beliau meninggalkan Rumah Putih pada Rabu. - Foto: AFP

Hassan berkata, meskipun Trump dilihat dengan persepsi buruk, tetapi Presiden AS itu tidak menggunakan alasan Covid-19 untuk mengisytiharkan darurat atau menggantung Parlimen bagi membolehkan kerajaan minoriti dan tiada majoriti terus berada di puncak kuasa.

Trump ujarnya, masih menghormati Perlembagaan AS termasuk tidak mengambil tindakan terhadap Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi apabila wanita berkenaan memanggil sidang khas Parlimen untuk memecatnya sebagai Presiden.

"Trump tidak pula bertindak macam sesetengah negara republik pisang di Afrika yang dalam keadaan sedemikian akan menjatuhkan Speaker Parlimen dan menggantikan dengan Speaker baharu lantikannya secara paksa tanpa proses mengundi dan demokrasi," katanya.

Beliau secara sinis membandingkan amalan demokrasi yang dipraktikkan di AS dengan apa yang sedang berlaku di sesetengah negara di Afrika termasuk Malaysia pada ketika ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!