3,175 kg herba perubatan dari Indonesia dirampas

Herba perubatan dari Indonesia yang dirampas oleh Maqis pada petang Khamis.
Herba perubatan dari Indonesia yang dirampas oleh Maqis pada petang Khamis.
A
A
A

BUTTERWORTH - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas sebanyak 125 guni yang mengandungi pelbagai jenis herba perubatan seberat 3,175 kilogram (kg) dari negara Indonesia.

Pengarahnya, Zarina Ramli berkata, kesemua barang dagangan berkenaan cuba dibawa masuk ke negara ini melalui Pelabuhan Dermaga Air Dalam (DAD) di sini pada petang Khamis.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati beberapa jenis herba perubatan yang diimport, antaranya taik angin, cabe jawa, bunga jambu, damar mata kucing dan anyang-anyang.

Sebanyak 125 guni yang mengandungi herba perubatan dirampas oleh Maqis dalam pemeriksaan yang dilakukan petang Khamis.
Sebanyak 125 guni yang mengandungi herba perubatan dirampas oleh Maqis dalam pemeriksaan yang dilakukan petang Khamis.

"Turut dikesan di dalam guni berkenaan adalah herba cuci atep, lada lobang, pulau sari, temu kuncu, masohi dan kembang semangkuk.

"Kesemua herba terbabit dianggarkan bernilai RM61,241.25 dirampas kerana gagal mematuhi piawaian yang telah ditetapkan pada syarat permit import yang sah," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Zarina berkata, cubaan membawa masuk herba tanpa permit import yang sah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Katanya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam (6) tahun atau keduanya sekali di bawah Seksyen 15(2) Akta yang sama.

Artikel Berkaitan:

"Maqis mengambil langkah serius dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.

"Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!