10 anak yatim kongsi dua telefon bimbit jalani PdPR

Mohd Zatullah membantu penghuni Pusat Jagaan Anak Yatim Walidaina menyiapkan latihan sekolah secara dalam talian.
Mohd Zatullah membantu penghuni Pusat Jagaan Anak Yatim Walidaina menyiapkan latihan sekolah secara dalam talian.
A
A
A

SEREMBAN - Jika ibu bapa mengakui sukar untuk menyediakan kemudahan bagi pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), inikan pula pengusaha rumah anak yatim yang menempatkan ramai pelajar.

Pusat Jagaan Anak Yatim Walidaina di Senawang yang mempunyai 10 penghuni kanak-kanak lelaki berusia sembilan hingga 14 tahun turut berdepan kesukaran sama apabila hanya mampu menyediakan dua telefon bimbit yang digunakan secara bergilir-gilir bagi sesi PdPR.

Pengasasnya, Mohd Zatullah Kamarudin berkata, perkara berkenaan menjadi satu permasalahan besar buat pusat jagaan itu ketika ini.

"Terus terang saya cakap, kita nak pastikan kesemua anak-anak ini dapat mengikuti PdPR ini dengan baik, memang susah. Bukan saja perlu ada capaian Internet, malah kena ada alat peranti bersesuaian.

"Dua telefon bimbit yang digunakan sekarang ini pun kepunyaan warden dan pekerja bahagian pentadbiran. Ibu bapa yang ada dua anak pun mengeluh sukar nak sediakan kemudahan PdPR, inikan pula kami yang ada 10 anak-anak, " katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, jika keadaan itu berterusan dalam tempoh lebih lama, beliau bimbang pendidikan anak-anak berkenaan akan terus tercicir sekali gus tahap pendidikan mereka merosot.

Sebagai jalan penyelesaian katanya, beliau memilih untuk mendapatkan khidmat guru tuisyen bagi membantu sesi ulang kaji penghuni pusat jagaan itu pada setiap Isnin hingga Jumaat.

"Kami upah seorang guru tuisyen untuk 10 pelajar dengan bayaran RM600 sebulan dan dia akan pantau untuk semua subjek.

Artikel Berkaitan:

"Itu saja yang kami mampu buat pada masa sekarang. Harapnya tak lama lagi mereka boleh pergi ke sekolah seperti biasa dan belajar secara bersemuka dengan guru," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Zatullah berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan jika ada pihak yang sudi menyumbangkan telefon bimbit atau komputer riba berserta internet untuk kegunaan anak-anak di situ sepanjang PdPR.

Katanya, kesemua anak-anak itu sangat bersemangat untuk memulakan sesi persekolahan tahun ini, namun kesukaran belajar secara dalam talian ketika ini dibimbangi melunturkan semangat mereka.

"Semua kelengkapan sekolah sudah pun dibeli tapi apa nak buat tiba-tiba jadi macam ini pula. Tanggungjawab saya bukan sahaja pastikan kebajikan mereka dijaga tapi juga pendidikan mereka," katanya.

Sementara itu beliau berkata, kos operasi pusat jagaan itu yang perlu ditanggung setiap bulan adalah RM12,000 dan kebanyakannya merupakan sumbangan orang ramai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!