UPM semak status diploma, ijazah MB Johor

No Image Caption
A
A
A
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Universiti Putra Malaysia (UPM) melakukan semakan terhadap status diploma dan ijazah Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian yang didakwa diperoleh dari universiti tersebut.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Prof Dr M Iqbal Saripan berkata, walaupun UPM tidak mempunyai Diploma Perakaunan namun terdapat kemungkinan rekod yang menunjukkan Osman mengikut program lain di bawah Fakulti Ekonomi.

“Maklumat lebih lanjut akan saya maklumkan selepas saya mendapat data sebenar daripada program pengajian yang lain,” jawabnya ringkas kepada Sinar Harian, hari ini.

Selepas cerita 'sijil palsu' Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya, orang ramai mula meragui kelayakan Osman yang mendakwa mempunyai ijazah dan diploma Perakaunan dari Universiti Pertanian Malaysia yang kini dikenali sebagai Universiti Putra Malaysia.

Dalam pada itu, sumber UPM berkata, pihaknya akan memeriksa fail berkenaan status akademik Osman pada Isnin ini kerana ia perlu dilakukan secara manual di pejabat.

“Ada berpuluh ribu sijil lama perlu kami semak terlebih dahulu dan menurut sumber, menteri besar itu belajar di Universiti Pertanian Malaysia iaitu ketika belum ada lagi sistem komputer untuk menyimpan data pelajar.

“Sistem komputer hanya boleh semak (fail) graduan Universiti Putra, manakala penuntut lama ketika era Universiti Pertanian perlu semak fail ‘hard copy’ secara manual kerana tiada dalam sistem komputer,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!